SERDANG: Kerjasama semua pihak yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk penglibatan graduan yang merupakan tonggak negara adalah sangat penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.

Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, para graduan harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengikut kepesatan perubahan teknologi.

“Globalisasi dan industri 4.0 (i4.0) akan mengubah masa hadapan sektor pekerjaan kerana banyak pekerjaan sedia ada tidak lagi akan wujud. Justeru itu para graduan perlu lebih kritis dan berinovatif bagi mendepani cabaran i4.0

“Namun kita melihat program-program dijalankan oleh Technopreneur Training Academy (TENTRA) di bawah MTDC dapat membantu kebolehpasaran graduan dalam era i4.0 ini termasuklah graduan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.

Industri 4.0 | MTDC sedia platform bangunkan solusi inovasi & berteknologi

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program MTDC Road2Growth Zon Tengah di Pusat Teknologi UPM-MTDC Serdang di sini pada Selasa.

MTDC Road2Growth yang memasuki tahun keenam tersebut merupakan program siri jelajah anjuran Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dengan menumpukan usaha dalam memperkenalkan produk, perkhidmatan serta teknologi tempatan dengan memberi penekanan terhadap i4.0 dan pendigitalan.

Dalam program tersebut, MTDC bersama-sama syarikat ekosistemnya yang terdiri daripada rakan niaga Co9P dan syarikat penerima dana Inovasi Sandbox Teknologi Nasional turut mengadakan Pameran Solusi i4.0 di Experience Hub.

Pameran berbentuk i4.0 ini mengetengahkan teknologi robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti perantaraan, pertanian pintar serta teknologi dron.

Dalam pada itu, menurut Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, acara tahunan itu merupakan sebuah platform terbaik kepada para usahawan dan graduan untuk mendapatkan informasi mengenai perkhidmatan disediakan MTDC selain bagi memperkenalkan syarikat ekosistemnya.

“Penggunaan teknologi terbukti meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, menambah pendapatan syarikat serta meningkatkan asas pelanggan selain berjaya membantu usahawan berhadapan dengan persaingan.

“Kerjasama yang terjalin antara MTDC dengan usahawan, penyelidik, para akademia dan agensi kerajaan dapat memacu usahawan untuk menaik taraf perniagaan mereka melalui solusi dan inovasi teknologi tempatan,” ujarnya kepada pemberita ketika majlis sama.

Norhalim turut menambah, pihaknya akan memperkenalkan dana terbaharu bernilai RM100 juta dengan kerjasama rakan niaga asing selewat-lewatnya suku ketiga tahun hadapan selain menyasarkan untuk menyenaraikan satu syarikat di Papan Utama Bursa manakala lagi tiga di Paparan ACE pada suku pertama tahun 2023.