Skip to main content

Malaysia

Perluas skala gaji minimum kepada pekerja berpendapatan pertengahan - MTUC

61682310017_MTUC.jpg
Kamarul Baharin berkata langkah itu penting bagi mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran serta membolehkan syarikat bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap pelaksanaan struktur skala gaji minimum diperluas kepada kumpulan pekerja berpendapatan pertengahan bagi memastikan kenaikan pendapatan selaras dengan kemahiran, pendidikan dan pengalaman kerja.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata langkah itu penting bagi mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran serta membolehkan syarikat bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji. 

Beliau menyifatkan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan bahawa kerajaan sedang menyemak semula kadar gaji minimum merupakan langkah yang wajar bagi pekerja di negara ini. 

"Berdasarkan Akta Perundingan Gaji Negara, ia mewajibkan kajian kadar gaji minimum dibuat sekali setiap dua tahun, maka berbaki lima bulan lagi pengumuman kadar baharu perlu dilakukan.

"Berdasarkan kepada kenaikan kadar gaji minimum yang dibuat pada Feb 2025 maka sepatutnya kadar baharu akan bermula pada Feb 2027 dan kelewatan memberikan kadar baharu gaji minimum memungkinkan pekerja berada dalam keadaan lebih tertekan dengan kos barangan semakin meningkat," katanya.

Kamarul Baharin berkata gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan boleh dijadikan rujukan untuk kadar gaji minimum baharu yang munasabah dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup, inflasi, harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas yang semakin meningkat.

Kamarul Baharin berkata terdapat pekerja yang masih bergaji RM1,700 walaupun telah berkhidmat selama 10 tahun kerana ketiadaan struktur gaji.

Kamarul Baharin berkata MTUC bersedia bekerjasama dengan kerajaan menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi mengemukakan idea serta pandangan mengenai kadar gaji minimum baharu.

Selasa lepas, Ramanan berkata kadar gaji minimum sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement