KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperluaskan perumahan mampu milik di ibu negara dilihat membantu menggalakkan pemilikan rumah terutama dalam kalangan generasi muda.

Pensyarah Kanan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Shazmin Shareena Ab Azis berkata pemilikan rumah penting dalam mewujudkan kejiranan yang lebih stabil di sesuatu kawasan, sekali gus melahirkan masyarakat sejahtera.

"... kestabilan kejiranan penting dalam membentuk perpaduan, keharmonian, keselamatan lebih terjamin malah turut membantu menurunkan kadar jenayah di kawasan tersebut.

"Jika terlalu ramai penyewa dalam sesuatu kawasan itu, secara logiknya, ia (penyewa) akan sentiasa bertukar ganti yang mana kita sendiri mungkin tidak mengenalinya," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata kemampuan isi rumah untuk membeli rumah masih rendah berikutan nilai hartanah melambung tinggi sekali gus menyebabkan berlakunya peningkatan harga semua jenis rumah di kawasan bandar.

"Bagi saya, rumah mampu milik adalah penyelesaian kepada golongan B40, M40 dan anak muda untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

Dalam pada itu, sebagai usaha mengekalkan kawasan lapang, Shazmin Shareena berkata kerajaan boleh memanfaatkan teknologi hijau dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan.

"Melalui teknologi hijau ini, kita boleh mewujudkan taman pada bangunan antaranya membangunkan bumbung hijau atau dinding hijau yang berasaskan kepada tumbuhan.

"Kawasan lapang atau hijau ini bukan sahaja membantu menyerap atau melambatkan pengaliran air tetapi juga akan mengembalikan nilai estetik sekali gus mengurangkan pemanasan global di kawasan bandar," katanya.

Turut senada, Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Suhardi Maulan yang berpendapat bandar sememangnya memerlukan kawasan lapang dan hijau yang mencukupi kerana ia mempunyai sifat magnet atau menjadi daya tarikan kepada masyarakat bandar.

Menurutnya kawasan rizab hutan, sungai, bukit dan kawasan hijau serta lapang memberikan manfaat besar terhadap penduduk bandar dan memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu perancangan bandar itu sihat dan berdaya huni.

"Ia sebenarnya 'balance up' pembangunan pesat di bandar dan perlu cukup untuk kualiti, alam sekitar, aktiviti rekreasi, kecantikan bandar, kesihatan manusia selain menyokong biodiversiti di kawasan bandar. Selain itu, kecukupan kawasan lapang seperti taman bandar menjadi cerminan kepada nilai tamadun sesuatu pembangunan bangsa dan negara," katanya.

Justeru, Suhardi berkata negara memerlukan kepakaran dalam bidang penghijauan bandar seperti Arkitek Landskap untuk melihat dengan teliti perancangan, reka bentuk dan pengurusan kawasan lapang dan hijau di bandar bagi memastikan kuantiti dan kualitinya terus meningkat.

"Kepakaran merancang, mereka bentuk dan menguruskan kawasan hijau dan lapang di bandar perlu dilihat secara lebih menyeluruh bagi membantu kerajaan merealisasikan lebih banyak kawasan lapang dan hijau yang berkualiti di bandar tercapai," katanya.

Bagi warga kota, Nur Fitri Aini Ismail, 39, berpendapat perancangan kerajaan untuk memperluaskan rumah mampu milik sebagai satu langkah yang tepat bagi membantu golongan warga kota terutama B40 untuk memliki kediaman sendiri.

"Namun, dalam masa sama, pembangunan tersebut perlulah tersusun dan dilengkapi dengan kemudahan asas lain selain mengambil berat dalam kos penyelenggaraan agar kediaman kekal terjaga," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya segera melaksanakan penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan mewartakan dokumen itu sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata DBKL perlu memberi tumpuan mengekalkan kawasan rizab hutan dan kawasan lapang selain bersetuju supaya perumahan mampu milik diperluaskan bagi menampung permintaan terhadap jenis perumahan tersebut oleh warga kota Kuala Lumpur.

Cadangan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik melalui konsep Kejiranan Madani di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

PSKL 2040 merupakan antara komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang mengandungi visi, matlamat, hala tuju strategi dan tindakan untuk memandu Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang.

Antara kandungan draf PSKL 2040 adalah mengintegrasikan penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan ruang awam.

-- BERNAMA