PUTRAJAYA: Permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM15 juta bagi enam kategori di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan dibuka mulai 16 Nov ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, dana ini bertujuan membuka peluang kepada bakat baharu, memperluas kerjasama antarabangsa memberikan ruang kepada artis veteran untuk terus berkarya serta menggalakkan penghasilan kandungan baharu seperti mikro drama bagi memenuhi keperluan pasaran digital.
Enam kategori itu ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi; Dana First Time Amateur Film Maker (FAME); Dana Co-Pro Program TV (Supertelefilem); Dana Co-Pro Mikro Drama (Stesen Penyiar/OTT Platform); Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR); dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
“Kita galakkan semua untuk mencuba nasib dan membuat permohonan,” katanya dalam sidang media pada kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026), di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Fahmi berkata, permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) https://sppik.finas.my mulai 16 Nov ini.
“Penggiat industri yang berkelayakan digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi akan terus memperkukuh ekosistem industri kreatif melalui kemudahan pembiayaan, peluang kepada bakat baharu dan galakan penghasilan kandungan tempatan yang berkualiti serta berdaya saing.
Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, garis panduan dan tatacara permohonan akan diumumkan melalui laman sesawang serta platform media sosial rasmi FINAS.
-- BERNAMA