MALAYSIA

Permohonan ekstradisi pengasas Bestinet diurus secara G2G, P2P

Bernama 30/10/2025 | 12:30 MYT
Saifuddin pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Permohonan daripada kerajaan Bangladesh untuk mengekstradisi pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan rakannya Ruhul Amin yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram, kini sedang dikendalikan Bukit Aman bersama pihak berkuasa di Dhaka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu diuruskan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta polis dengan polis (P2P) berasaskan pendekatan kerjasama dua negara.

"Semasa kunjungan, (Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Dr Muhammad Yunus) Prof Yunus ke negara kita beberapa bulan lepas, saya sempat membincangkan perkara itu dengan (beliau).

"Kedua-kedua pihak bersetuju hal itu akan ditangani atau diuruskan secara P2P. Saya ambil sampai situ dulu (tidak mahu jelas lebih lanjut) saya tak mahu pergi lebih daripada itu," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Rintis Badan Pendamai antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di sini hari ini.

Saifuddin Nasution bagaimanapun tidak memperincikan sama ada Dhaka telah menjelaskan tujuan ekstradisi berkenaan.

Pada Nov lepas, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah menerima permohonan dari Bangladesh yang meminta Malaysia menahan Aminul Islam dan rakannya Ruhul berikutan kedua-duanya dikatakan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan Malaysia mahukan supaya Dhaka memberi penjelasan lanjut berhubung permohonan itu sama ada penahanan mereka adalah bagi tujuan ekstradisi atau bagi tujuan menjalankan siasatan lanjut.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia perlu jelas terlebih dahulu mengenai objektif penahanan, sama ada untuk tujuan merakam keterangan dan menjalankan siasatan.

Aminul Islam adalah pengasas dan pengerusi Bestinet, syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Difahamkan Aminul Islam yang berasal dari Bangladesh dan kini menjadi warga Malaysia tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet, namun masih memiliki pegangan dalam syarikat itu.

-- BERNAMA


#pengubahan wang haram #pekerja asing #Kementerian Dalam Negeri #Bestinet