KUALA LUMPUR: Permohonan Geran Kandungan Digital 2022 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini dibuka bermula 14 Jun lalu sehingga 29 Julai depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata geran tersebut penting bagi membantu pencipta kandungan digital merealisasikan idea mereka ke dalam bentuk produk sedia untuk dipasarkan.

"Pencipta kandungan digital memiliki pelbagai idea menarik tetapi mereka sukar memulai dan mendapatkan dana.

"Justeru, saya yakin melalui Geran Kandungan Digital 2022 ini, MDEC bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan malah membantu mereka dalam penghasilan kandungan digital yang boleh dipasarkan kerana idea mereka akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada pakar industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Geran Kandungan Digital di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia 2022 menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000.00 kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) untuk membangunkan kandungan baharu atau sedia ada di pasaran dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.

Pemohon terpilih akan dijemput ke sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos 2022, sebelum kelulusan diumumkan menjelang September 2022.

Selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberi tempoh selama enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital mereka, merangkumi sama ada Filem Animasi Pendek, Episod Pilot, Treler Pendek, kandungan untuk Pengumuman Pesanan Khidmat Awam (PKA), Permainan Digital/ Media Interaktif Lengkap (Demo atau Prototaip) atau Komik Digital/ Komik Bergerak Lengkap.

Tahun lalu, menerusi Geran Kandungan Digital 2021, MDEC telah menerima 111 permohonan di mana RM1.9 juta geran telah diluluskan yang memberi manfaat kepada 39 pemohon.

Sejak 2016, MDEC telah meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikat kandungan kreatif digital bagi membiayai idea mereka di peringkat pembangunan dan memastikan ia mesra pelabur.

Pendaftaran untuk Geran Kandungan Digital 2022 kini dibuka sehingga 29 Julai 2022 dan mereka yang berminat boleh melayari https://mdec.my/dcgprisma2022 untuk maklumat lanjut.