PUTRAJAYA: Geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada hotel bajet bertaraf satu dan dua bintang dilanjutkan sehingga 30 Jun depan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, tempoh pelanjutan itu bagi memastikan geran padanan boleh dimohon oleh pengusaha hotel yang layak dan tidak berpeluang untuk mengemukakan permohonan dalam tempoh telah ditetapkan sebelum ini.

"Ini juga memberi ruang lebih ramai pengusaha hotel mengambil peluang menyertai usaha kerajaan untuk memulihkan semula industri pelancongan negara," katanya.

Ujar MOTAC, pengusaha hotel masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan kelulusan.

"MOTAC menyeru mana-mana pengusaha hotel bajet yang layak, mengemukakan permohonan mengikut tarikh ditetapkan," katanya.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan geran padanan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi tujuan pembaikan inap desa dan hotel bajet di bawah MOTAC.

Permohonan geran padanan ini boleh dirujuk di laman sesawang www.motac.gov.my/geran-padanan.

"Pemberian geran ini diharapkan dapat membantu pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis mereka untuk menarik lebih ramai pelancong datang menginap," katanya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian