Permohonan untuk Hak Trafik Udara (ATR) pada separuh pertama tahun ini merosot 74.3 peratus berbanding separuh kedua 2019, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam laporan ATR.

Katanya dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020, suruhanjaya itu meluluskan 27 permohonan ATR, bersamaan 87.1 peratus daripada permohonan yang diterima.

"Dua permohonan ATR untuk destinasi domestik manakala baki 25 untuk destinasi antarabangsa.

"Kelulusan untuk laluan antarabangsa terdiri daripada tujuh untuk destinasi di China, satu untuk Amsterdam, satu untuk Auckland dan baki 16 untuk destinasi Asia yang lain," katanya dalam kenyataan.

MAVCOM berkata dari segi peruntukan oleh lapangan terbang, 20 ATR telah dikeluarkan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), dua dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), dan lima dari lapangan terbang Malaysia yang lain.

Daripada 27 kelulusan ATR pada separuh pertama tahun ini, Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) menerima jumlah kelulusan tertinggi, sebanyak 14 ATR, manakala AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd, Raya Airways dan My Jet Xpress, masing-masing enam, lima, satu dan satu peruntukan.

Selain itu, terdapat 39 ATR yang telah diluluskan sebelum separuh pertama 2020 tetapi tidak digunakan oleh syarikat penerbangan.

ATR itu kemudiannya dikembalikan kepada MAVCOM pada separuh pertama tahun ini.

Jumlah tertinggi ATR yang tidak digunakan adalah daripada AirAsia Group Bhd (17), diikuti oleh Malindo Air (15), MAB (lima), Fly Firefly Sdn Bhd (Firefly) (satu) dan Raya Airways Sdn Bhd (satu).

Bagi meringankan cabaran pentadbiran syarikat penerbangan semasa pandemik ini, suruhanjaya itu telah memansuhkan syarat yang secara automatik membatalkan ATR yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh pemberian kelulusan kepada syarikat penerbangan, berkuat kuasa 5 Jun, 2020.

Ini membolehkan syarikat penerbangan berjadual Malaysia mengekalkan portfolio ATR semasa mereka untuk tempoh yang tidak terhad sehingga diberitahu kelak.

Pemansuhan itu tidak akan terpakai kepada ATR yang telah dianggap tamat dan dibatalkan secara automatik serta untuk laluan yang telah ditamatkan oleh syarikat penerbangan atas kehendak mereka sendiri.

Laporan Hak Trafik Udara itu dikeluarkan setiap dua tahun sekali dan lebih banyak maklumat boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.

-- BERNAMA