KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC, akan didengar pada 3 Dis ini.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

"Notis permohonan penggantungan prosiding kes saman itu telah difailkan semalam.

"Permohonan itu dibuat kerana anak guam kami (Najib) mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan dan kes membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang masih belum dibicarakan, diselesaikan terlebih dahulu," katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Suriani Ujang, hari ini.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA