[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Permohonan permit menerusi Nusuk bagi pastikan ibadah haji efisien, sistematik

Umavathi Ramayah 19/04/2025 | 21:45 MYT
Mohd Na’im berkata, penggunaan platform berkenaan bertujuan memastikan pengurusan ibadah haji lebih efisien, berpusat dan sistematik. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi berhubung penggunaan platform digital Nusuk bagi permohonan permit haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata penggunaan platform berkenaan bertujuan memastikan pengurusan ibadah haji lebih efisien, berpusat dan sistematik.
"Setiap negara ada peraturan masing-masing dan Arab Saudi antara negara yang sangat menitikberatkan transformasi digital dalam pengurusan haji.
"Secara peribadi saya tahu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi mereka sendiri merupakan individu yang berpengalaman dalam bidang IT (teknologi maklumat) dan dia yang memperkenalkan platform Nusuk," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2025M di sini, pada Sabtu.
Menurut Mohd Na’im, Nusuk diperkenalkan bagi memastikan pengurusan ibadah haji dilakukan dengan lebih berkesan, selaras dengan usaha kerajaan Arab Saudi untuk menambah baik pengalaman jemaah melalui pendigitalan sistem.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam kalangan jemaah haji Malaysia, yang selama ini dikenali sebagai antara paling berdisiplin di dunia.
"Kita tak nak kerana kesilapan segelintir, negara kita diheret dan akhirnya dikenakan sekatan. Lihat sahaja baru-baru ini, 14 negara disenarai hitam kerajaan Arab Saudi kerana pelanggaran dalam prosedur haji dan umrah,” jelas beliau.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengesan individu dari beberapa negara yang masuk ke tanah suci untuk menunaikan umrah, namun kemudiannya menetap melebihi tempoh dan cuba menunaikan haji tanpa permit sah.
"Sebab itu saya menyeru agar semua jemaah mematuhi peraturan dan memastikan kita tidak termasuk dalam senarai negara yang disekat kelak," tegas beliau.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum ini menegaskan individu yang berhasrat menunaikan haji tahun ini (1446 Hijrah) perlu memperoleh permit haji melalui platform Nusuk, yang disepadukan dengan `Platform Permit' bersepadu untuk pengeluaran permit rasmi.
Kementerian itu turut menekankan bahawa tiada jenis visa yang membenarkan seseorang menunaikan haji tanpa permit, dan pematuhan sepenuhnya terhadap semua peraturan serta arahan adalah penting bagi menjamin keselamatan jemaah serta kelancaran ibadah haji.
#Arab Saudi #Haji #umrah #jemaah