Skip to main content

Malaysia

Permohonan pindaan maklumat bangsa perlu asas keturunan yang jelas - JPN

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias (kiri) menyerahkan MyKad generasi baharu kepada warga emas, Pahang Awang Mohamad, 74, (dua, kiri) yang ditemani isterinya, Fuziah Ibrahim, 71, (dua, kanan) pada Program Literasi Pendaftaran di Pejabat JPN Pekan, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias (kiri) menyerahkan MyKad generasi baharu kepada warga emas, Pahang Awang Mohamad, 74, (dua, kiri) yang ditemani isterinya, Fuziah Ibrahim, 71, (dua, kanan) pada Program Literasi Pendaftaran di Pejabat JPN Pekan, hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Permohonan pindaan maklumat bangsa dalam rekod JPN mesti disokong dokumen sah dan tertakluk kepada undang-undang serta peraturan berkuat kuasa.
  • Pindaan maklumat bangsa tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan penelitian terhadap rekod kelahiran, maklumat ibu bapa dan dokumen berkaitan.
  • Perkahwinan dengan warganegara Malaysia tidak memberi kewarganegaraan automatik kepada pasangan asing, permohonan tertakluk syarat Perlembagaan dan keputusan pihak berkuasa.

PEKAN: Sebarang permohonan pindaan maklumat bangsa dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu mempunyai asas keturunan yang jelas, disokong oleh dokumen yang sah serta tertakluk pada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata pindaan berkenaan bukanlah suatu proses yang boleh dibuat secara sewenang-wenangnya atau berdasarkan pilihan peribadi semata-mata, sebaliknya memerlukan penelitian terhadap rekod kelahiran, maklumat ibu bapa dan dokumen berkaitan.

Beliau berkata dalam keadaan tertentu, anak yang dilahirkan hasil perkahwinan sah antara warganegara Malaysia dengan bukan warganegara boleh mengemukakan permohonan untuk menyelaraskan maklumat bangsa berdasarkan keturunan ibu atau bapanya, tertakluk pada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

“Perkara yang perlu difahami ialah seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya menukar maklumat bangsa tanpa asas yang sah. Setiap permohonan perlu diteliti berdasarkan fakta keturunan, dokumen sokongan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“JPN bertanggungjawab memastikan setiap maklumat yang direkodkan adalah tepat, mempunyai asas yang boleh dibuktikan dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad kepada Pahang Awang Mohamad pada Program Literasi Pendaftaran di pejabat JPN, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya bukan warganegara berkahwin secara sah dengan warganegara Malaysia, maklumat keturunan anak hasil perkahwinan itu boleh diteliti berdasarkan latar belakang ibu dan bapa serta rekod pendaftaran yang berkaitan.

Badrul Hisham berkata jika terdapat keperluan untuk meminda maklumat bangsa yang telah direkodkan, individu berkenaan boleh mengemukakan permohonan berserta dokumen sokongan untuk penelitian JPN.

“Permohonan pindaan tidak bermakna perkara itu akan diluluskan secara automatik. JPN perlu membuat semakan dan pengesahan bagi memastikan maklumat yang dimohon mempunyai asas yang sah.

“Dalam hal ini, masyarakat juga perlu membezakan antara maklumat bangsa atau keturunan dengan status kewarganegaraan kerana kedua-duanya melibatkan pertimbangan dan peruntukan undang-undang yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa perkahwinan antara warganegara Malaysia dengan bukan warganegara tidak memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepada pasangan warga asing.

Badrul Hisham berkata sebarang permohonan kewarganegaraan hendaklah memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta tertakluk pada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa yang berkenaan.

“Seseorang warga asing yang telah lama menetap di Malaysia atau berkahwin dengan warganegara tempatan boleh mengemukakan permohonan kewarganegaraan sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagaimanapun, perkahwinan atau tempoh menetap di negara ini bukanlah jaminan bahawa kewarganegaraan akan diberi.

“Pemberian kewarganegaraan merupakan perkara yang tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan, dan JPN melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan bidang kuasa serta peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Badrul Hisham turut menegaskan bahawa JPN sentiasa komited memastikan urusan pendaftaran identiti dan rekod penduduk dilaksanakan secara telus, berintegriti serta berlandaskan undang-undang.

“Prinsip kita jelas, setiap rekod identiti mesti mempunyai asas yang sah. Kita mempermudah urusan rakyat, tetapi tidak sekali-kali berkompromi dalam perkara yang melibatkan kesahihan dokumen, ketepatan maklumat dan pematuhan undang-undang,” katanya.

– BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement