KUALA LUMPUR: Seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat daripada Program Subsidi Upah (PSU) di bawah PRIHATIN dan PENJANA dengan permohonan yang diluluskan telahpun mencapai nilai RM12.945 bilion, setakat 1 Okt, 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata di bawah Pakej Kita PRIHATIN pula, bantuan subsidi upah dilanjutkan untuk tiga bulan tambahan bagi majikan sedia ada yang menerima PSU manakala bantuan PSU selama enam bulan diberikan kepada semua permohonan antara 1 Okt 2020 hingga 31 Dis 2020.

"Setakat 1 Okt, 2021, sejumlah RM1.395 bilion telah disalurkan kepada 80,839 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 712,408 pekerja," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-72 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata Skim Pembiayaan Mudah Jaya PENJANA Institut Pengajian Tinggi Swasta (SPiM PENJANA IPTS) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula telah menerima sejumlah 55 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM152.3 juta telah disalurkan kepada 22 buah IPTS Bumiputera, setakat 1 Okt.

Selain itu, beliau berkata, pembiayaan sektor pelancongan PENJANA pula merekodkan 701 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 340 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM67.5 juta.

Bagi sokongan penggunaan teknikal dan digital kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC), Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM84.2 juta kepada 13,884 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 1 Okt.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menyalurkan sebanyak RM105.94 juta kepada 38,870 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk geran padanan bagi membantu PKS untuk mengguna pakai perkhidmatan pendigitalan dalam operasi perniagaan.

Menurutnya, kerajaan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah mengumumkan Program Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli dengan peruntukan berjumlah RM10 juta yang turut diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Setakat 1 Okt, bakul-bakul makanan ini telah berjaya diagihkan sepenuhnya dan mencapai objektifnya untuk memanfaatkan lebih 63,000 orang asli.

"Kerajaan berharap bahawa bantuan bakul makanan ini dapat membantu masyarakat Orang Asli serba sedikit dan tidak terkecuali daripada perhatian dan bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM1.114 bilion elaun khas petugas barisan hadapan berdasarkan 2,943,908 tuntutan terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19, setakat 1 Okt.

"Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata bagi Inisiatif Pemulihan CENDANA, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang dijangka memanfaatkan 3,000 penerima daripada kalangan seniman dan organisasi dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan.

"Setakat 1 Okt, sebanyak RM5.70 juta telah disalurkan kepada 553 penerima," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.

"Kerajaan melalui pakej PEMULIH bersetuju memberi Bantuan Khas Taska berjumlah RM3,000 kepada 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8,000 pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.

"Setakat 1 Oktober 2021, sebanyak RM3.6 juta telah disalurkan kepada 1,194 pengusaha taska.

"Kerajaan berharap agar bantuan khas ini dapat meringankan beban pengurusan taska dalam mematuhi Panduan Pencegahan Penularan COVID-19 yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

-- BERNAMA