Permohonan Sanjeevan tangguh hukuman penjara diketahui Jumaat ini

Bernama
Disember 1, 2020 23:28 MYT
Sanjeevan didakwa meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risiko tidak boleh meneruskan perniagaan di Pusat Komersial Triang, Bera, dekat Temerloh, pada 1 Julai 2013. - Gambar fail
TEMERLOH: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan Jumaat ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan bagi menangguhkan hukuman penjara ke atasnya sementara menunggu rayuan kes beliau didengar di Mahkamah Rayuan.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam S Preakas yang mewakili Sanjeevan dan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada prosiding pada Selasa.
Pada prosiding itu, Preakas menghujahkan bahawa anak guamnya wajar diberikan jaminan sehingga kes tersebut diputuskan di peringkat rayuan kerana beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
"Anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan akibat kesan tembakan di bahagian dada. Selain itu, Mahkamah Rayuan sudah menetapkan 14 Jan 2021 sebagai tarikh pendengaran dan jika rayuan kami diterima, ia menjadi akademik kerana anak guam sudah menjalani hukuman penjara," katanya.
Law pula menghujahkan bahawa permohonan itu wajar ditolak kerana Sanjeevan dihukum penjara selama tiga bulan dan denda RM7,000 selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Majistret pada 14 Ogos 2018, kerana didakwa memeras ugut seorang pekerja kedai,tujuh tahun lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risiko tidak boleh meneruskan perniagaan pada pukul 9.45 malam, 1 Julai 2013 di Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, Bera dekat sini.
Bagaimanapun, Mahkamah Majistret semasa itu menerima permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara dan memerintahkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadapnya dinaikkan kepada RM6,000.
Hukuman denda bagaimanapun telah dijelaskan oleh Sanjeevan.
Pada 27 Nov lepas, Mahkamah Tinggi di sini semasa mendengar rayuan Sanjeevan terhadap sabitan dan hukuman itu mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret dan menolak permohonan Sanjeevan untuk sekali lagi menangguhkan hukuman penjara kerana berhasrat membuat rayuan ke peringkat lebih tinggi.
Keputusan itu menyebabkan Sanjeevan kini menjalani hukuman tersebut di Penjara Penor, Kuantan.
-- BERNAMA
#R Sri Sanjeevan #sanjeevan #Mahkamah Tinggi #MyWatch #Hukuman #penjara #tangguh #Mahkamah Rayuan #kerjasama #masalah kesihatan #tembakan #wang tunai #mangsa #perniagaan #denda #temerloh #Pusat Komersial Triang