KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK), bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Feb depan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi memohon tarikh sambung pendengaran kerana pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes tersebut.

"Dalam kes ini pemohon (pendakwa raya) memahami keprihatinan mahkamah bahawa kes ini telah lama berlangsung, pihak-pihak belum menyelesaikan hujahan. Bagaimanapun pihak-pihak akur dengan keputusan mahkamah sekiranya dapat menetapkan satu tarikh lagi untuk pihak-pihak berhujah.

"Ini akan dapat membantu pihak pemohon (pendakwa raya) untuk menyelesaikan beberapa perkara yang mana terdapat saksi yang baru dirakam percakapannya dan mungkin boleh memberi kesan terhadap kes ini," kata Ahmad Sazilee semasa prosiding pengurusan kes itu hari ini.

Semasa ditanya Hakim Ahmad Shahrir, sama ada saksi itu telah selesai dirakam percakapannya, Ahmad Sazilee berkata: "(Rakaman percakapan saksi) masih berlangsung dan pihak kami masih menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak penguat kuasa (SPRM) kerana kami tidak tahu apa rakaman percakapan tersebut".

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek mencadangkan pendengaran terakhir bagi kes itu perlu ditetapkan memandangkan kes tersebut telah lama dan sekiranya terdapat sebarang permohonan ia perlu difailkan sebelum tarikh pendengaran.

Peguam Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services Limited, yang merupakan responden kedua, ketiga dan kelima berkata beliau mengguna pakai hujahan Mohd Yusof.

Susulan itu Hakim Ahmad Shahrir menetapkan 20 Feb 2024 untuk pendengaran terakhir dan sebarang permohonan sekiranya ada perlu difailkan sebelum tarikh tersebut.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun tersebut.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang terbabit berasal daripada dana 1MDB dalam satu usaha sama dengan PSI bagi menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.



-- BERNAMA