NATIONAL
Permohonan SPHM yang sudah diluluskan diproses secara elektronik bermula 5 Mei - KP Jakim
Sirajuddin berkata bagi pemohon sijil tersebut yang telah mendapat pengesahan, mereka kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Susulan pengenalan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 5 Mei lepas, semua permohonan SPHM yang telah diluluskan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat Jakim, Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri mulai tarikh berkenaan, akan diproses secara elektronik.
Ringkasan AI
- Jakim memperkenalkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) mulai 5 Mei 2025, membolehkan pemohon mencetak sendiri sijil melalui sistem MYeHALAL.
- Semua permohonan SPHM yang diluluskan akan diproses secara elektronik, manakala permohonan untuk sijil fizikal perlu dikemukakan melalui surat rasmi dan dikenakan bayaran mengikut Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
- Inisiatif ini selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam Kerajaan Madani, bertujuan mempercepatkan proses pensijilan halal dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata bagi pemohon sijil tersebut yang telah mendapat pengesahan, mereka kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL.
Beliau berkata sekiranya pihak syarikat masih memerlukan SPHM dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan pihak berkenaan, permohonan hendaklah dikemukakan menerusi surat rasmi.
"Segala urusan percetakan sijil secara fizikal dikategorikan sebagai Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata pendigitalan urusan permohanan SPHM adalah selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam Kerajaan MADANI bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.
"Jakim sentiasa komited dalam memastikan nilai daya cipta iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan yang terkandung dalam teras Malaysia Madani dapat direalisasikan meliputi urusan pensijilan halal.
"Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap inisiatif digitalisasi selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan," katanya.
-- BERNAMA