Skip to main content

Malaysia

Permohonan SPRM lucut RM21.1 juta, jongkong emas Aman Palestin ditolak

TB_AMAN PALESTIN_AWANI
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, dilihat hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan gagal dalam permohonan untuk melucut hak wang yang dibekukan, masing-masing berjumlah RM21.1 juta dan AS$139,650.68 selain sebuah jongkong emas seberat satu kilogram milik pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Aman Palestin Berhad di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian selepas menolak permohonan pendakwaan terhadap wang yang dibekukan dalam 12 akaun bank atas nama Aman Palestin.

Semasa membaca keputusan, Latifah berkata, Aman Palestin selaku responden merupakan sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan.

Menurutnya, objektif utama penubuhan syarikat berkenaan bagi menyelaras pelbagai jenis bantuan amal kepada rakyat Palestin yang kurang bernasib baik di seluruh dunia.

“Dana responden diperoleh sepenuhnya melalui derma dalam pelbagai kaedah termasuk transaksi dalam talian, potongan bulanan daripada akaun serta tabung derma tunai di cawangan di seluruh Malaysia.

“Bermula 2018 hingga 2023, jumlah kutipan derma mencecah RM123.9 juta,” katanya yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Beliau berkata, penderma menyalurkan sumbangan secara sukarela kepada responden dan wang tersebut diterima sebagai milik penuh syarikat berkenaan.

Katanya, responden juga mempunyai hak kawalan sepenuhnya ke atas wang tersebut tanpa sebarang syarat atau sekatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemohon telah membekukan kesemua akaun bank berkenaan pada November dan Disember 2023 sebelum permohonan lucut hak dibuat pada 15 November 2024.

“Pemohon mendakwa dana itu telah diseleweng daripada objektif asal, manakala siasatan menunjukkan responden memindahkan wang melebihi RM64 juta untuk pelaburan, pembelian hartanah dan emas.

“Pemindahan dibuat kepada syarikat bernama Samudra Champa Sdn Bhd, Kerengga Merah Sdn Bhd, Isra Travel Sdn Bhd dan Yayasan Persahabatan Al-Insaniah Sejagat.

“Mahkamah berpandangan, jika benar terdapat penyelewengan dilakukan oleh pengarah syarikat ketika wang itu dikeluarkan untuk pelaburan, liabiliti tanggungan adalah terhadap individu.

“Ia seharusnya diletakkan kepada pengarah-pengarah tersebut dan tidak melibatkan responden,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun-akaun bank dan pembelian jongkong emas berkenaan sebagai perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Bersandarkan alasan berkenaan, beliau mendapati pemohon gagal memenuhi beban pembuktian berdasarkan imbangan kebarangkalian bagi semua permohonan tersebut.

“Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya dalam prosiding yang dihadiri pemohon, diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, Noor Syazwani Mohamad Sobry, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Pegawai Pendakwa, Fatin Farhana Ismail.

Aman Palestin pula diwakili barisan peguam antaranya Datuk Hisyam Teh Pok Teik, Datuk Zamani Ibrahim dan Datuk M Athimulan.

Selepas keputusan dibacakan, Farah Ezlin memohon penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah bagi menghentikan sementara pemulangan harta atau wang yang dibekukan dan disita sementara menunggu keputusan rayuan.

Latifah kemudian menetapkan pengurusan kes bagi permohonan berkenaan pada 4 September depan.

Pada 15 Februari 2024, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin antara tiga lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit dalam pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM39.5 juta.

Kesemua 164 pertuduhan itu dibacakan dalam tempoh lebih dua jam dan membabitkan Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 60; CEO, Awang Suffian Awang Piut, 54; serta pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 51.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan.

 

Must Watch Video

Advertisement