Permohonan vaksin AstraZeneca bermula esok, siapa cepat dia dapat - Khairy

Firdaus Azil
Mei 1, 2021 04:59 MYT
Permohonan itu terbuka kepada 268,000 orang berdasarkan siapa cepat dia dapat melalui website www.vaksincovid.gov.my. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mendapat vaksin AstraZeneca secara sukarela akan mula dibuka kepada masyarakat 12 tengah hari, Ahad, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Dalam catatan terbaharu di laman Twitternya, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, permohonan melalui laman web vaksincovid.gov.my itu hanya memerlukan pendaftaran dan dibenarkan untuk memilih tarikh serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai.
Bagaimanapun, ia hanya terbuka kepada PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, dan terhad kepada siapa yang cepat.
“Apabila anda selesai memilih PPV serta tarikh, anda akan menerima notifikasi waktu temujanji melalui aplikasi MySejahtera atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“PPV yang tersenarai ialah di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam,” katanya lagi.

As previously announced, @JKJAVMY is offering an opt-in choice for people who want to take the AstraZeneca vaccine. Bookings will be open tomorrow, 2 May 1200hrs at https://t.co/TF4fINjmn7 You already need to be registered & will simply just need to pick a PPV & date. pic.twitter.com/05ijzmn6Kt

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) May 1, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada 28 April lepas, Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Kerajaan akan memulakan pemberian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca kepada pemohon sukarela menerusi PPV khas.
Jelasnya lagi, tindakan berkenaan diambil bagi mempertimbangkan kegusaran rakyat mengenai keselamatan vaksin itu.
BACA: Vaksin AstraZeneca hanya akan diberikan kepada pemohon sukarela - Khairy
Untuk rekod, Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Khairy berkata, laporan berita bahawa terdapat beberapa hospital yang mengambil tempahan untuk vaksin AstraZeneca adalah tidak benar.
Tambahnya lagi, permohonan itu terbuka kepada 268,000 orang berdasarkan siapa cepat dia dapat melalui website www.vaksincovid.gov.my.
Beliau berkata, tarikh pemberian vaksin itu kepada mereka yang berjaya akan bermula seawal 5 Mei, 2021.
Jika berjaya, kaedah ini mendapat sambutan, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan membuka permohonan untuk negeri-negeri lain, bergantung kepada penghantaran vaksin AstraZeneca.
#Khairy Jamaluddin #AstraZeneca #vaksin #permohonan #sukarela #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #Kuala Lumpur #shah alam #AS #Parlimen #kerajaan #rakyat #keselamatan #menteri