MALAYSIA

Permukiman Kerajaan MADANI 2026: Kos sara hidup, kemudahan urus niaga jadi keutamaan - Fahmi

Faida Rahim 11/01/2026 | 11:00 MYT
Fahmi berkata, indikator positif ekonomi termasuk pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan, dan kadar pengangguran rendah menunjukkan negara berada di landasan yang tepat. - Gambar/ Astro AWANI
BANGI: Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada usaha menangani kos sara hidup dan meningkatkan kemudahan berurus niaga, di samping memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada menangani kos sara hidup dan kemudahan berurus niaga bagi kestabilan ekonomi negara.
  • Usaha kerajaan bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat yang jelas kepada rakyat dengan mengatasi isu kos sara hidup dan kemudahan berbisnes.
  • Indikator positif ekonomi termasuk pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan, dan kadar pengangguran rendah menunjukkan negara berada di landasan yang tepat.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keutamaan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada manfaat yang jelas kepada rakyat di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.

"Keutamaan adalah untuk pastikan bukan hanya ekonomi negara terus berada di landasan yang betul isu yang dihadapi oleh rakyat terutama sama ada kos sara hidup atau the ease of doing business.

"Mudah untuk melakukan aktiviti-aktiviti perniagaan, menjadi satu keutamaan dan komunikasi kerajaan untuk pastikan hasil usaha apa disebut sebagai stability dividen, hasil daripada kestabilan yang telah diperoleh sepanjang 38 bulan Kerajaan MADANI mentadbir benar-benar membuahkan hasil," katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI 2026 di Bangi.

Beliau turut menyentuh beberapa indikator positif ekonomi seperti pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan serta kadar pengangguran yang kini berada pada paras terendah dalam tempoh 14 tahun sebagai bukti negara berada di landasan tepat.

Permukiman itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta menteri-menteri besar dan ketua menteri Kerajaan Perpaduan seluruh negara, kecuali Johor.

Jelas Fahmi lagi, permukiman itu menyaksikan perbincangan terbuka dan produktif berhubung pelaksanaan dasar, komunikasi kerajaan dan prestasi kementerian, sekali gus menjadi isyarat kukuh perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan pentadbiran negeri.

Susulan permukiman itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya hasil perbincangan diterjemahkan kepada beberapa program yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.



#Fahmi Fadzil #Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #kos sara hidup