[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Perniagaan di Malaysia terdedah kepada 190,000 cubaan eksploitasi pada separuh pertama 2025

Bernama 06/10/2025 | 09:15 MYT
Perniagaan di Malaysia menjadi sasaran utama di Asia Tenggara untuk ancaman berasaskan web, merekodkan sebanyak 190,556 percubaan mengeksploitasi dengan purata lebih 1,050 serangan sehari pada separuh pertama 2025. - Foto hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Perniagaan di Malaysia menjadi sasaran utama di Asia Tenggara untuk ancaman berasaskan web, merekodkan sebanyak 190,556 percubaan mengeksploitasi dengan purata lebih 1,050 serangan sehari pada separuh pertama 2025, menurut syarikat keselamatan siber Kaspersky.


Ringkasan AI
  • Malaysia mencatat 190,556 percubaan eksploitasi siber pada separuh pertama 2025, meningkat 16 peratus berbanding tahun lalu dan menjadi sasaran ketiga tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Vietnam.
  • Kaspersky melaporkan purata lebih 1,050 serangan sehari terhadap perniagaan Malaysia, menandakan peningkatan ancaman terhadap sistem yang tidak diperbaiki.
  • Secara keseluruhan, perniagaan Malaysia berdepan 1.7 juta ancaman web dalam tempoh enam bulan pertama 2025, kedua tertinggi di rantau ini selepas Thailand.


Kaspersky dalam satu kenyataan hari ini berkata ia mewakili peningkatan 16 peratus daripada tempoh sama tahun lepas, mencerminkan trend menaik yang jelas apabila infrastruktur digital terus berkembang.

Di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tempat ketiga dari segi jumlah eksploitasi, di belakang Indonesia (524,657) dan Vietnam (301,800).

Eksploitasi adalah sejenis program berniat jahat direka untuk mengambil kesempatan daripada pepijat (bugs) atau kelemahan dalam perisian atau sistem pengendalian untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran, apabila dibiarkan tanpa diperbaiki, kelemahan berkenaan membuka pintu untuk penjenayah siber, katanya.

Pengarah Urusan Kaspersky untuk Asia Pasifik Adrian Hia berkata peningkatan sebanyak 16 peratus dalam percubaan mengeksploitasi terhadap perniagaan Malaysia dalam masa enam bulan menyerlahkan kegigihan penyerang (penjenayah siber) ini.

"Apabila ekonomi dalam talian negara berkembang, menutup jurang dalam sistem yang tidak diperbaiki bukan sahaja untuk mengelakkan serangan tetapi juga memperkukuh kemajuan digital negara.

"Risikan ancaman akan memberitah kita dengan tepat di mana tumpuan penyerang, justeru perusahaan Malaysia boleh mengukuhkan pertahanan sebelum kerosakan berlaku," katanya.

Syarikat itu juga berkata, secara keseluruhannya, perniagaan di Malaysia menghadapi 1.70 juta ancaman berasaskan web perniagaan-ke-perniagaan dalam tempoh enam bulan pertama 2025.

Ia menjadikan Malaysia negara kedua menjadi sasaran utama di Asia Tenggara dengan insiden melebihi 1.63 juta ancaman di Indonesia, mengatasi 2.52 juta ancaman di Thailand.

"Ancaman berasaskan web merujuk kepada program perisian hasad yang boleh menyasarkan pengguna semasa mereka melayari Internet. Ancaman ini tidak terhad kepada aktiviti dalam talian tetapi akhirnya melibatkan Internet pada beberapa peringkat untuk mendatangkan bahaya," katanya.

-- BERNAMA


#perniagaan di Malaysia #eksploitasi #Asia Tenggara #Kaspersky