Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Perodua lancar aplikasi super P-Circle, perkukuh konsep mobiliti sebagai gaya hidup

Astro Awani 13/10/2025 | 21:20 MYT
Ciri baharu itu juga dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik (EV) pertama mereka.
KUALA LUMPUR: Perodua melangkah setapak lagi dalam usaha mengintegrasikan konsep Mobility as a Service (MaaS) menerusi pelancaran aplikasi super baharu, P-Circle.


Ringkasan AI
  • Aplikasi super P-Circle menyatukan pelbagai perkhidmatan digital Perodua, selaras dengan konsep Mobility as a Service (MaaS) dan pendekatan "mobility as a lifestyle".
  • P-Circle merangkumi e-dompet P-Duit untuk transaksi mudah, sokongan pembayaran di stesen pengecas EV, serta ciri P-Guardian untuk pemantauan rumah melalui integrasi kamera.
  • Perodua menekankan kepentingan integrasi teknologi dalam kehidupan pengguna, dengan pelancaran EV pertama dan aktivasi ciri P-Vehicle dijangka memperkukuh ekosistem digital syarikat.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata P-Circle bukan sekadar aplikasi mobiliti, sebaliknya menawarkan pendekatan “mobility as a lifestyle” dengan pelbagai perkhidmatan digital syarikat disatukan dalam satu platform.

“Kami sedang mempelbagaikan pendekatan teknologi selaras dengan visi masa depan dan hala tuju industri automotif.

"Pengguna kini lebih cenderung untuk menghubungkan kenderaan dan kediaman mereka kepada Internet,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa integrasi digital dijangka terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang, seiring komitmen Perodua untuk berinovasi dan menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan, selaras dengan falsafah syarikat ‘We Go Beyond’.

“Komponen utama MaaS ialah penyelesaian fleksibel yang disesuaikan dengan keperluan perjalanan pengguna, dan pakej kami direka khusus untuk memenuhi keperluan tersebut,” tambahnya.

Antara komponen utama P-Circle ialah e-dompet P-Duit, yang memudahkan transaksi domestik secara pantas dan selamat.

Ciri ini juga dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik (EV) pertama mereka.

Perodua telah memeterai perjanjian dengan semua pengendali utama stesen pengecasan, yang bersetuju menerima pembayaran melalui P-Duit.

Zainal turut memaklumkan bahawa ciri P-Vehicle akan diaktifkan selepas pelancaran rasmi EV pertama Perodua.

Sementara itu, ciri P-Guardian berfungsi sebagai aplikasi pemantauan rumah yang ditawarkan bersama P-Charge, membolehkan pengguna memantau kediaman mereka melalui kamera yang diintegrasikan dengan peranti tersebut.

Aplikasi P-Circle kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, manakala pengecas mudah alih serta jam pintar P-Circle boleh didapati di semua Pusat Servis Perodua di seluruh negara.







#Perodua #super app #P-Circle #pendekatan teknologi