Perolehan kumpulan kedua tiga LMS dijangka dimuktamadkan tahun ini - Khaled

Bernama
Mac 17, 2024 20:30 MYT
Mohamed Khaled menyerahkan replika cek Peruntukan Senggaraan 2024 kepada Abdul Rahman pada majlis berbuka puasa di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru semalam. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan menjangkakan perolehan kumpulan kedua bagi tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat dimuktamadkan pada tahun ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan LMS dijangka akan mengambil masa tiga tahun selepas proses perolehan tersebut selesai.
Beliau berkata pihaknya pada masa sama akan terus memberikan fokus terhadap proses pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) dengan satu daripadanya dijangka akan menjalani ujian pemasangan sistem dan peralatan iaitu Harbour Acceptance Test serta Sea Acceptance Trial pada November ini.
Berliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga TLDM di Pangkalan TLDM Johor Bahru, di sini semalam.
Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Pasukan Simpanan TLDM Laksamana Pertama Azeman Yusoff.
-- BERNAMA
#TLDM #LCS #Mohamed Khaled Nordin #LMS