Polis Labuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang giat membanteras perlakuan vandalisme yang dilakukan pihak yang merosakkan harta awam dalam usaha kerajaan negeri mengindahkan bandar ini.

Banyak bangunan lama dan papan tanda jalan di pusat bandar dan pinggir bandar menjadi sasaran dengan contengan grafiti jelik tanpa mendapat kebenaran pihak PBT.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata perlakuan berkenaan dilakukan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan juga mempunyai mentaliti yang rendah.

"Kami mengutuk perbuatan yang dilakukan perosak harta awam ini dan pihak yang bertanggungjawab perlu berhadapan dengan tindakan tegas yang akan kami ambil ke atas mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Jabatan Kerja Raya dan Perbadanan Labuan (Bahagian Pembangunan dan Kejuruteraan) telah membuat laporan polis pada 21 dan 24 Sept lepas terhadap contengan grafiti yang tidak mendapat kebenaran ke atas harta benda awam di kawasan Jalan Pohon Batu, Jalan Batu Arang, Jalan Bunga Tanjung, seberang kedai Chep Seng Hardware dan Pasaraya Utamajaya di pusat bandar melibatkan kerugian RM6,357.

Muhammad Farid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Labuan telah membuka kertas siasatan berhubung kesalahan berkenaan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Bandar Labuan kini menjalani program pengindahan dengan beberapa bangunan lama diserikan dengan lukisan mural berskala besar bagi meningkatkan imej bandar pulau bebas cukai ini.

Sebanyak 13 projek mural berjaya dilaksanakan dalam masa hanya dua minggu yang melibatkan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berjumlah RM80,000.

"Malangnya, sebelum 13 projek mural itu dihabiskan, satu daripadanya telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu sindrom memusnahkan harta benda awam ini menjadi tidak terkawal apabila orang-orang ini sering menyembur cat grafiti pada tengah malam terhadap bangunan-bangunan kita," katanya.

Beliau memberitahu sebagai langkah pencegahan pihaknya telah menugaskan beberapa anggota yang akan memantau perlakuan berkenaan dan pengawasan terhadap kawasan yang telah dikenal pasti.

"Kita masih lagi mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pemilik kedai untuk menjejak pelaku yang telah memusnahkan harta benda awam," katanya.

Seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg ketika dihubungi berkata hakikatnya tindakan yang bakal diambil terhadap pelaku berkenaan menerusi peruntukan undang-undang sedia ada oleh PBT dan pihak polis tidak cukup untuk menakutkan mereka.

"Sudah tiba masanya akta mengenai vandalisme diperkenalkan bagi memberi laluan kepada denda atau tindakan yang lebih tegas seperti perkhidmatan komuniti," tegasnya.

Katanya, walaupun perlakuan vandalisme di Labuan tidak teruk, tetapi ia perlu diambil serius dan memerlukan undang-undang yang lebih tegas untuk menanganinya di samping kempen yang berkaitan bagi mengekang kesalahan ini menjadi semakin tidak terkawal.

-- BERNAMA