Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Perpaduan kaum tonggak negara, semangat bangsa dan agama tetap utuh - Anwar

Bernama 11/10/2025 | 12:00 MYT
Anwar berucap pada program Majlis Sumbangan Kasih Madani sempena Deepavali 2025 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Semangat bangsa dan agama tidak akan terhakis meskipun pelajar serta murid daripada pelbagai kaum, agama dan budaya belajar bersama di bawah satu bumbung atau sekolah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kepelbagaian masyarakat di Malaysia merupakan kekuatan yang perlu diraikan dan bukan dipersoalkan kerana ia menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian negara.

"Malaysia ini negara berbagai kaum, berbagai agama, berbagai budaya. Anak-anak tahu ini, pelajar Melayu ada, pelajar Cina, pelajar India, pelajar Orang Asli ada, tetapi boleh bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Anwar berkata rakyat Malaysia perlu terus memupuk semangat menghormati dan memuliakan kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat.

Perdana Menteri berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meraikan pelbagai perayaan secara bersama seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali pada setiap tahun.

Amalan itu, menurut beliau melambangkan semangat saling menghormati antara kaum yang menjadi teras kepada kekuatan negara.

"Ini (perayaan) cara kita memuliakan budaya, menghormati masing-masing, bahasa, budaya dan ini cara kita ikat perpaduan negara kita," katanya.

Terdahulu, dalam majlis sama Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyerahkan sumbangan berkenaan kepada wakil 15 sekolah melibatkan 2,500 pelajar di kawasan itu.

-- BERNAMA


#Deepavali #Orang Asli #Tahun Baharu Cina #keharmonian negara