PENAMPANG: Perpaduan dan kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keharmonian serta warna-warni seni budaya itulah yang menjadikan Sabah unik dan istimewa selain memiliki keindahan alam semula jadi yang tersendiri.

"Hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023, dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberikan sokongan kepada program yang bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan kerana ia berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi kesejahteraan dan keharmonian negeri.

Katanya Pesta Kaamatan bertemakan "Kaamatan Membudayakan Perpaduan" juga sejajar dengan konsep Malaysia MADANI bermatlamat membentuk negara bangsa sejahtera, maju dan progresif dengan politik dan ekonominya teguh, yang membentuk kerajaan adil lagi saksama serta negara makmur dan sentosa.

Sementara itu, Joseph Pairin berkata KDCA berhasrat untuk menubuhkan Muzium Kebudayaan dan Kolej Komuniti bagi membantu mempromosikan pembangunan pendidikan, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Beliau berkata selain dapat mengekalkan budaya setempat, kekayaan budaya juga mampu membantu untuk menjana pendapatan dari aspek pelancongan sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Katanya bermula tahun ini, pengisian Pesta Kaamatan telah diantarabangsakan dengan menghubung jalin Pesta Kaamatan dengan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu mempromosikan kekayaan alam semula jadi dan keunikan budaya negara.

"Saya optimistik, bahawa pendekatan serta inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelancong ke negara kita untuk melihat keindahan alam semula jadi, kekayaan dan keunikan budaya negara tetapi juga menjadi saluran untuk mendapatkan bantuan dana daripada PBB," katanya.

-- BERNAMA