Pemindahan tapak perkuburan Islam baru buat tujuh perkampungan sekitar Pengerang bagi memberi laluan kepada projek Pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) mungkin ditangguhkan.

Ia susulan beberapa isu yang mahu ditangani terlebih dahulu oleh Jabatan Mufti Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin berkata penangguhan itu dibuat berdasarkan beberapa perkara. Antaranya sistem perparitan, lanskap, kawasan berpagar dan laluan masuk yang sesuai.

Beliau juga menjelaskan kerja-kerja pemindahan kubur diharuskan mengikut hukum syarak. Beliau berkata demikian selepas majlis Amanat Mufti Johor sempena penyediaan tapak dan kerja pengalihan perkuburan Islam berkeluasan 16.2 hektar di Pengerang, Johor.

Sehingga kini 200 kubur daripada 920 kubur yang telah dikenalpasti tidak mempunyai waris telah dipindahkan.