BACHOK: Perpustakaan Desa kini berkembang daripada sekadar tempat meminjam bahan bacaan kepada pusat ilmu, interaksi sosial dan pembangunan komuniti setempat, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Hasnita Zakaria.
Beliau berkata perkembangan itu selari dengan keperluan masyarakat luar bandar yang bukan sahaja memerlukan bahan bacaan, malah akses kepada maklumat, pembelajaran digital dan pelbagai aktiviti berasaskan komuniti.
“Sehingga kini terdapat 1,080 Perpustakaan Desa di seluruh negara dengan 506 daripadanya di bawah seliaan PNM, termasuk 34 di Kelantan.
“Sepanjang 2025, Perpustakaan Desa seluruh negara mencatatkan 8.86 juta pengunjung, lebih 50,600 aktiviti dengan penyertaan 1.45 juta peserta serta 1.15 juta pinjaman bahan bacaan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Sentuhan Komuniti Bestari di Perpustakaan Desa Kampung Chap Bekelam di sini hari ini.
Hasnita berkata Program Sentuhan Komuniti Bestari merupakan antara inisiatif strategik PNM untuk menyemarakkan budaya membaca, memperluas akses ilmu pengetahuan serta memperkasa masyarakat melalui penyampaian maklumat yang berkualiti dan relevan.
Beliau berkata kesemua 506 Perpustakaan Desa di bawah seliaan PNM turut dilengkapi kemudahan Internet bagi membolehkan masyarakat luar bandar mendapatkan pelbagai sumber pembelajaran digital.
“Menerusi u-Pustaka, masyarakat boleh mengakses ribuan e-buku, e-jurnal, e-majalah, e-surat khabar serta pelbagai pangkalan data secara percuma.
“Pada 2025, sebanyak 7,509 pendaftaran ahli baharu u-Pustaka direkodkan melalui Perpustakaan Desa seluruh negara, termasuk 1,254 di Kelantan,” katanya.
Hasnita berkata budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia turut menunjukkan peningkatan apabila Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 mendapati purata pembacaan meningkat kepada 24 naskhah buku setahun berbanding 15 naskhah pada 2014.
Beliau berkata 85.4 peratus rakyat Kelantan mengamalkan budaya membaca, menunjukkan usaha memperkukuh amalan berkenaan di negeri itu semakin mendapat sambutan.
Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa menjadikan Perpustakaan Desa sebagai sebahagian daripada kehidupan keluarga bagi membentuk generasi berilmu dan berkemahiran.
“PNM berharap Program Sentuhan Komuniti Bestari dapat memperkukuh kerjasama antara perpustakaan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam memperkasa masyarakat melalui ilmu,” katanya.
--BERNAMA