MALAYSIA

Persahabatan, Musang King.. Hermono akhiri tugas di Malaysia dengan kenangan manis -

Bernama 13/11/2025 | 14:53 MYT
Hermono berkata, Malaysia merupakan tempat paling bermakna bagi saya kerana di sinilah saya berpeluang menangani isu kemanusiaan secara langsung - iaitu isu pekerja migran. - Bernama
KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya berkata usaha memperkukuh perlindungan dan kebajikan pekerja migran Indonesia sepanjang lima tahun beliau berkhidmat merupakan pencapaian paling bermakna dalam kerjaya diplomatiknya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono, yang akan kembali ke Jakarta pada akhir bulan ini, berkata Malaysia mempunyai "tempat istimewa" dalam empat dekad perkhidmatan diplomatiknya, khususnya kerana sebahagian besar tugasnya di sini tertumpu kepada isu kemanusiaan asas.

"Malaysia merupakan tempat paling bermakna bagi saya kerana di sinilah saya berpeluang menangani isu kemanusiaan secara langsung - iaitu isu pekerja migran," katanya kepada pemberita semasa pertemuan bersama media bagi menghargai sokongan wartawan Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya di sini pada Khamis.

Dilantik pada 2020, Hermono ialah seorang diplomat kerjaya yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia dari 2013 hingga 2015, menandakan ini adalah tugasan keduanya di Kuala Lumpur.

Mengimbas tempoh perkhidmatannya, Hermono melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan perlindungan pekerja domestik Indonesia, yang disifatkannya sebagai pencapaian penting dalam hubungan dua hala.

"Itu satu pencapaian yang membanggakan bagi saya dan pasukan saya kerana banyak usaha telah dicurahkan sebelum MoU itu berjaya dimuktamadkan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa MoU itu telah membawa kepada peningkatan ketara dalam layanan terhadap pekerja domestik Indonesia di Malaysia.

"MoU itu berfungsi dengan baik. Keadaan kini jauh lebih baik... dan jika ada kes, kami dapat menyelesaikannya dengan mudah," katanya.

Hermono menekankan bahawa dua isu utama yang masih menjadi tumpuan dalam hubungan Indonesia-Malaysia ialah perlindungan pekerja migran dan isu sempadan.

"Itu dua isu yang perlu terus kita tangani. Jika kedua-duanya dapat diselesaikan, saya yakin hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia akan menjadi lebih kukuh," katanya.

Hermono menegaskan bahawa kekuatan jangka panjang hubungan dua hala tidak seharusnya hanya bergantung pada hubungan peribadi antara pemimpin negara.

"Hubungan kita tidak sepatutnya bergantung kepada hubungan peribadi pemimpin; pemimpin datang dan pergi. Asas paling kukuh dan penting dalam hubungan ini ialah rakyat kedua-dua negara," katanya.

Hermono turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan mendalam kepada wartawan Malaysia yang telah menyokong beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang bertugas di Malaysia. Saya amat berterima kasih kepada semua wartawan," katanya.

Beliau menambah bahawa liputan meluas media membantu membentuk pemahaman masyarakat terhadap isu pekerja migran dan turut meningkatkan profil beliau di Malaysia.

"Anda telah menjadikan saya sangat dikenali di Malaysia, seperti seorang selebriti... ke mana sahaja saya pergi, ramai yang mengenali saya," katanya.

Ketika menamatkan misinya di Kuala Lumpur, Hermono berkata beliau akan merindui perkara-perkara sederhana tetapi bermakna dalam kehidupannya di Malaysia.

"Persahabatan, mi goreng mamak, dan durian Musang King," katanya.

-- BERNAMA

#Duta Besar Indonesia #Hermono #tamat tempoh perkhidmatan #Malaysia #kerjaya diplomatik #persahabatan