Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Persaraan Panglima ATM, Ketua Pengarah Perisikan tiada berkaitan siasatan SPRM

Bernama 22/11/2025 | 03:10 MYT
Persaraan Panglima ATM, Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mohd Razali Alias, tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor oleh SPRM kata Mohamed Khaled. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Mohd Razali Alias, tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama, hari ini.

"Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terlibat kes penyeludupan dadah Ogos lepas.

Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Menurut sumber rasmi, Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Jan 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Disember 2026.

-- BERNAMA


#Persaraan Panglima ATM #Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan #siasatan sprm #Mohamed Khaled Nordin #Menteri Pertahanan