Persatuan Farmasi Malaysia persoal penjualan kit ujian COVID-19 di MySejahtera

Nailah Huda
Ogos 1, 2021 14:15 MYT
Sejak kemas kini terbaharu MySejahtera pada 29 Julai lalu, tiga jenis kit ujian kendiri berjenama Salixium, Gmate dan JusChek disenaraikan di aplikasi tersebut menerusi sebuah platform e-dagang. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mempersoalkan penjualan kit ujian kendiri air liur COVID-19 melalui MySejahtera selepas kemas kini terbaharu aplikasi tersebut pada 29 Julai lalu.
Menurut Presiden MPS, Amrahi Buang, penjualan kit ujian hanya menerusi satu platform adalah tidak adil bagi industri farmasi komuniti.
Sejak kemas kini terbaharu MySejahtera, tiga jenis kit ujian kendiri berjenama Salixium, Gmate dan JusChek disenaraikan di aplikasi tersebut menerusi sebuah platform e-dagang atau laman web.
Bagaimanapun Amrahi mendakwa, syarikat yang bertanggungjawab mengurus platform e-dagang berkenaan bukan berlatarbelakangkan farmasi komuniti atau klinik yang berdaftar.
Justeru, beliau berpandangan bahawa penggunaan kit ujian kendiri tanpa penerangan yang secukupnya oleh ahli farmasi atau pegawai perubatan boleh menghasilkan keputusan saringan yang kurang tepat.
“Berkemungkinan besar bahawa tiada pemantauan atau kaunseling akan dibuat oleh syarikat tersebut selain menghantar kit ujian kendiri COVID-19 terus kepada pengguna.
“Aneh sekiranya sesuatu produk dibeli secara dalam talian dan apabila penerima tidak faham, mereka terpaksa pergi ke farmasi komuniti untuk penerangan selanjutnya. Maka pada pandangan kami, penjualan kit di aplikasi MySejahtera adalah kurang baik dari aspek etika," dakwa Amrahi ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa semakan dilakukan pihaknya pada hari pertama platform itu disenaraikan di MySejahtera mendapati ia dimiliki sebuah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau mendakwa, bagaimanapun semakan sekali lagi yang dibuat pihaknya baru-baru ini mendapati laman web berkenaan dimiliki syarikat berbeza.
“Melalui semakan data SSM, kedua-dua syarikat ini bukan entiti farmasi komuniti mahupun klinik dan hanya ditubuhkan pada tahun lepas.
“Ini menimbulkan kekeliruan dan sudah tentu kami dan rakyat ingin mendapatkan penjelasan selanjutnya daripada pihak berkenaan.
"Kami turut kecewa dengan kelebihan yang diberikan kepada platfrom berkenaan secara tidak adil kerana mempunyai posisi dominan dalam aplikasi MySejahtera berbanding farmasi komuniti," dakwanya.
Beliau dalam pada itu, mencadangkan supaya farmasi komuniti dan klinik swasta yang menjual kit ujian kendiri disenaraikan mengikut lokasi di aplikasi MySejahtera supaya pengguna boleh membeli kit secara ‘walk-in’ di premis terdekat.
Bermula 29 Julai lalu, kemas kini terbaharu pada aplikasi MySejahtera memperkenalkan beberapa ciri terbaharu yang membenarkan pengguna membeli kit ujian kendiri air liur COVID-19 serta mengemas kini keputusan saringan kendiri.

Dear users, we have updated the mobile app with enhanced features earlier this morning. Please update your app to the latest version. Close and reopen the app after update and you will be able to experience the latest features. Thank you

— MySejahtera (@my_sejahtera) July 30, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#MySejahtera #farmasi #kit ujian #kendiri #COVID-19 #air liur #Persatuan Farmasi Malaysia #MPS #Amrahi Buang #KKM #saringan #klinik