MALAYSIA
Persatuan nuklear dunia saran Malaysia, negara baharu tetapkan dasar jelas urus sisa nuklear
Bilbao y Leon berkata keputusan mengenai pengurusan sisa nuklear perlu dipandu dasar jangka panjang yang jelas dan telus serta mengambil kira penerimaan awam. - Foto X/Sama Bilbao y Leon
MOSCOW: Persatuan Nuklear Dunia menasihatkan negara yang berpotensi menjadi pendatang baharu dalam tenaga nuklear, termasuk Malaysia, supaya mempunyai strategi jelas dalam pengurusan sisa bagi memberikan ketelusan serta keyakinan kepada orang ramai.
Ketua Pengarahnya, Dr Sama Bilbao y Leon berkata keputusan mengenai pengurusan sisa nuklear perlu dipandu dasar jangka panjang yang jelas dan telus serta mengambil kira penerimaan awam.
"Jika kita putuskan untuk mengitar semula (sisa nuklear), atau jika kita putuskan untuk menyimpannya dalam jangka panjang, orang ramai di Malaysia, misalnya, perlu tahu dengan jelas apakah dasar yang ditetapkan," katanya pada sidang media sempena Minggu Atom Sedunia di sini, pada Jumaat.
Pada 6 Ogos lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia sedang menimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang, namun keputusan muktamad sama ada untuk membangunkan loji kuasa nuklear hanya akan dibuat selepas 2030.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan belum komited untuk membina loji tenaga nuklear tetapi telah menubuhkan sebuah organisasi khusus bagi mengkaji semua rangka kerja yang perlu, termasuk perjanjian antarabangsa, peraturan domestik serta keperluan modal insan.
Sama berkata tenaga nuklear kekal sebagai satu-satunya sumber tenaga yang mampu mengurus semua sisa yang dihasilkannya dengan selamat.
"Tidak seperti bahan api fosil, sisa nuklear telah diuruskan secara betul melalui penyimpanan sementara, kitar semula atau pengurusan jangka panjang tanpa memberi kesan kepada alam sekitar.
Setiap gram bahan nuklear terpakai yang dihasilkan selama berdekad-dekad dipantau, diurus dengan selamat dan dipisahkan daripada alam sekitar. Jika industri bahan api fosil melakukan perkara sama, kita tidak perlu berhimpun setiap tahun bagi persidangan perubahan iklim PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya.
Beliau menegaskan sisa nuklear tidak harus dilihat sebagai masalah, sebaliknya sebagai sumber, dengan banyak negara kini meneroka peluang mengitar semula bahan api nuklear terpakai.
Sama, yang juga Presiden Universiti Nuklear Dunia, berkata tenaga nuklear wajar dinilai berdasarkan manfaat sosioekonomi jangka panjang dan bukannya hanya kos pembinaan.
Beliau berkata walaupun loji nuklear memerlukan pelaburan modal permulaan yang besar, ia mampu membekalkan tenaga elektrik dan haba bebas karbon sehingga satu abad, di samping mewujudkan pekerjaan serta memacu pembangunan industri.
"Perbincangan sering tertumpu kepada kos pembinaan loji nuklear... tetapi jika kita lihat keseluruhan kitaran perniagaan dalam tempoh 60, 80 malah 100 tahun bekalan tenaga bersih, pekerjaan stabil dan peluang sosioekonomi, nuklear menjadi sangat berdaya saing," katanya.
Merujuk Finland, beliau berkata harga elektrik di negara itu menurun 75 peratus selepas tenaga nuklear mula disalurkan ke grid, sekali gus membuktikan nilai ekonomi jangka panjang teknologi itu.
Beliau turut menekankan bahawa Bank Dunia dan bank pembangunan pelbagai hala lain, termasuk Bank Pembangunan Asia, telah mula mengkaji semula dasar pinjaman mereka bagi mempertimbangkan pembiayaan projek nuklear.
"Ini boleh menjadi pengubah keadaan untuk negara seperti Malaysia yang sedang meneroka nuklear sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga.
Ia bukan sekadar pelaburan berbilion ringgit dalam infrastruktur, tetapi tentang mewujudkan peluang untuk generasi profesional dan industri akan datang," katanya.
Minggu Atom Sedunia, perhimpunan terbesar dunia mengenai nuklear dan industri berkaitan, bermula di sini pada Khamis dengan menarik penyertaan delegasi dari lebih 100 negara, termasuk Malaysia, bagi membincangkan masa depan tenaga nuklear di tengah-tengah permintaan global yang semakin meningkat.
-- BERNAMA