SUNGAI PETANI: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata persatuan penduduk boleh memohon Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) mulai esok.

Beliau berkata melalui Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntuk RM20 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sebagai GPPK yang bertujuan memperkasa peranan persatuan penduduk dalam menghadapi bencana.

"Objektif GPPK adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam komuniti dan meningkatkan penglibatan pertubuhan dalam hal ehwal keselamatan komuniti setempat.

"Peruntukan sebanyak RM20 juta itu boleh memberi manfaat kepada 2,000 persatuan penduduk dengan setiap satunya layak menerima sehingga RM10,000," katanya sambil menambah permohonan boleh dilakukan menerusi sistem eROSES.

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program KDN Madani Bersama Menteri Dalam Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh.

Beliau juga berkata KDN menerima banyak permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan dan menyasarkan sejumlah 10,000 akan dapat diselesaikan pada tahun ini.

"Daripada sasaran itu, sebanyak 8,288 permohonan telah diselesaikan dan hari ini, kita serahkan sijil kelahiran dan MyKad kepada 15 penerima," katanya.

Seorang penerima Nur Adilla Abdullah, 19, berkata ibu angkatnya, Lina Ranjeet Abdullah, 60, telah memohon sejak 2016 dan sering membuat semakan susulan bagi mengetahui status permohonan itu.

"Status sebelum ini walaupun tidak ditolak tetapi masih dalam proses, jadi bila saya dapat status warganegara hari ini, saya rasa gembira sangat... Selepas sekolah menengah, saya tidak dapat sambung belajar kerana status saya ini...selepas ini, saya berhasrat untuk sambung belajar dalam bidang kemahiran di GiatMARA," katanya.

Tan Kai Shian, 23, pula berkata dua permohonan yang dibuat oleh ibu bapanya sebelum ini tidak berjaya.

Dia berkata ibu bapanya tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia menyebabkan Tan gagal mendapat status warganegara.

"Susah saya nak minta kerja dan ambil lesen... sekarang ini, saya kerja biasa-biasa sahaja dan berharap dapat pekerjaan yang lebih baik selepas ini," katanya yang gembira menerima sijil kelahiran dan MyKad.

-- BERNAMA