Skip to main content

Malaysia

Persefahaman, kebaikan menjadi kunci memperkukuh perpaduan negara - Loke

SEREMBAN, 24 Mei -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika ditemui media selepas Majlis Hi-Tea bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Komuniti Taman Coral Height hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Loke berkata kepelbagaian hanya boleh menjadi satu aset apabila ia diiringi dengan semangat muhibah dan rasa hormat antara komuniti. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perpaduan negara bermula dengan usaha untuk memahami antara satu sama lain, menjadikan perbezaan sebagai sumber kekuatan dan pengayaan berbanding halangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Berucap pada acara Merdeka Blessings MahāSaṅghikadāna 2026 di sini hari ini, Loke berkata kepelbagaian etnik, agama, budaya, dan bahasa di Malaysia membentuk asas kepada kekuatan negara, yang disokong oleh sikap saling hormat-menghormati dan kepedulian bersama.

“Perpaduan sejati bermula apabila kita berusaha untuk memahami satu sama lain. Apabila wujudnya persefahaman, perbezaan tidak lagi perlu menjadi halangan. Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada kekayaan dan kekuatan komuniti kita,” katanya.

Loke berkata kepelbagaian hanya boleh menjadi satu aset apabila ia diiringi dengan semangat muhibah dan rasa hormat antara komuniti.

“Kepelbagaian kita menjadi satu kekuatan apabila ia diiringi dengan persefahaman. Perbezaan kita menjadi sumber pengayaan apabila ia diiringi dengan sikap saling menghormati. Dan masyarakat kita menjadi lebih kukuh apabila pemahaman disusuli dengan kebaikan," katanya.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan muhibah yang ringkas, boleh memberi impak yang mendalam terhadap kesepaduan sosial, sama ada melalui kata-kata manis yang mengembalikan keyakinan, tindakan penuh ihsan yang meringankan beban atau kemurahan hati yang merapatkan perbezaan.

Beliau berkata nilai-nilai tersebut sejajar secara langsung dengan nilai teras kerangka Malaysia MADANI, yang berusaha untuk membina masyarakat yang penuh belas ihsan berlandaskan kepercayaan bersama dan nilai kepedulian.

Dengan Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-69 esok, Loke berkata kemerdekaan harus dilihat bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi sebagai komitmen berterusan yang mesti dijunjung melalui tindakan kita setiap hari.

“Pada ketika kita menyambut hari Merdeka yang ke-69, kita harus ingat bahawa kemerdekaan bukan sekadar sesuatu yang kita peringati setahun sekali.

“Kekuatan negara kita mesti diperbaharui setiap hari melalui cara kita melayan satu sama lain, melalui kesediaan kita untuk memahami mereka yang berbeza daripada kita dan melalui komitmen kita untuk meletakkan kesejahteraan negara kita mengatasi perbezaan yang mungkin wujud dalam kalangan kita,” katanya.

Loke berkata perhimpunan itu sendiri mencerminkan temanya, Understanding Unites, Kindness Blesses, dengan menghimpunkan sami, biarawati, dan penganut Buddha daripada pelbagai tradisi, termasuk komuniti Thai, Sri Lanka, Burma, Mahāyāna, Tibet dan Lao.

Beliau berkata walaupun terdapat perbezaan dari segi adat resam, bahasa, dan asal usul, para peserta disatukan oleh aspirasi bersama demi keamanan, keharmonian, dan kemakmuran Malaysia.

Loke turut merakamkan penghargaan kepada United Buddist Order of Malaysia (UBOM), organisasi-organisasi yang mengambil bahagian, ahli Saṅgha, dan para sukarelawan kerana menganjurkan acara tersebut.

“Bersempena dengan sambutan Merdeka yang bermakna ini, marilah kita terus membina sebuah Malaysia, dengan kepelbagaian kita bukan sahaja diterima, tetapi difahami, dihormati dan dihargai sebagai satu daripada kekuatan terbesar negara kita,” katanya.

Edisi 2026 ini merupakan kali pertama acara tahunan tersebut diadakan di Kuala Lumpur, selepas penganjurannya diadakan di Pulau Pinang selama tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement