MALAYSIA

Perselisihan faham akibat tuntutan nafkah, wanita cedera dibelasah bekas suami

Umavathi Ramayah 29/12/2025 | 12:15 MYT
Abang Kaderi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, pada pukul 10.33 pagi Isnin. - Gambar tular
KUALA LUMPUR: Disebabkan perselisihan faham akibat tuntutan nafkah seorang wanita cedera dibelasah bekas suaminya dalam kejadian di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian pada pukul 11.47 malam, anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia tujuh tahun turut mengalami kecederaan selepas dipercayai ditolak suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, pada pukul 10.33 pagi Isnin.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika suspek menghantar anak ke rumah mangsa.

"Suspek yang berusia 34 tahun didakwa bertindak agresif terhadap bekas isterinya sebelum turut mencederakan anak perempuan mereka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Susulan kejadian, kata Abang Kaderi, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Beliau memberitahu, kes kini berada di peringkat siasatan lanjut pihak polis.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-6740989 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.


#keganasan rumah tangga #Seksyen 323 Kanun Keseksaan #viral #bekas suami