Persempadanan darat Malaysia-Indonesia masih dalam rundingan

Persempadanan darat antara Malaysia dengan Indonesia masih dalam rundingan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Persempadanan darat antara Malaysia dengan Indonesia masih dalam rundingan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ringkasan AI
- Rundingan Persempadanan Darat Malaysia-Indonesia masih berlangsung, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. Keputusan muktamad belum dicapai kerana perbincangan masih dalam proses, berdasarkan undang-undang.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan. Beliau menyatakan niat Malaysia untuk berunding dengan baik berhubung isu pampasan tanah tersebut.
- Rundingan untuk penandaan sempadan di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilakukan secara harmoni antara Malaysia dan Indonesia, tanpa bergantung kepada prinsip timbal balik, pampasan, atau untung-rugi.
"Kita akan suruh jawatankuasa teknikal dan juga juruukur kita buat ... tetapi, pengakhir cerita nanti pemimpin-pemimpin negara akan ada persetujuan, pemahaman tentang cara untuk diputuskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyangkal laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan berunding secara baik berhubung isu pampasan tanah tersebut dalam masa terdekat.
Baru-baru ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut melaporkan rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Feb 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


