MALAYSIA
Persiapan infrastruktur VJY2026 hampir 90 peratus siap

Mohammad Nazrul (dua, kanan) bersama ADUN Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad (dua, kiri) melakukan gimik Pelancaran Pelekat Promosi VJY2026 di pintu utama Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Tahap persediaan infrastruktur dan produk pelancongan Johor kini hampir 90 peratus siap, dengan pelbagai promosi giat dijalankan bagi merealisasikan sasaran menarik 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 (VJY2026).
Strategi promosi itu merangkumi pemasaran di pintu masuk utama seperti lapangan terbang, terminal feri, pintu masuk sempadan, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta laluan utama di seluruh negeri.
Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata tumpuan turut diberikan kepada promosi di media sosial, media arus perdana serta kerjasama dengan pempengaruh dan artis dalam usaha mengetengahkan keistimewaan produk pelancongan di negeri itu.
"Kita sudah hampir 13 tahun tidak menganjurkan Tahun Melawat Johor. Ia sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Kini adalah masa dan tahun terbaik untuk kita melaksanakan semula kempen Visit Johor," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pelekat VJY2026 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini semalam.Beliau berkata antara pembangunan produk pelancongan telah dilaksanakan melibatkan projek naik taraf Zoo Johor dengan pembukaan fasa malam dan pembangunan semula produk ekopelancongan seperti Air Terjun Gunung Ledang yang akan dibuka semula dalam masa terdekat.
Mengenai program semalam, Mohammad Nazrul berkata ia adalah sebahagian daripada permulaan gerakan besar pihaknya dalam mempromosi VJY2026 secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi demi memartabatkan Johor sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama negara.
"Kita mulakan inisiatif ini bersama Persatuan Pelancongan Negeri Johor dahulu. Kita akan cuba untuk memperbanyakkan pelekat ini pada masa akan datang dengan sasaran lebih 10,000 pelekat (dipamerkan) di semua pengangkutan awam di Johor," katanya.
Pelancaran pelekat rasmi semalam membabitkan pelbagai jenis pengangkutan termasuk beca, motosikal, kereta, bas persiaran, karavan dan perkhidmatan e-hailing.
Pada Mei lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil secara langsung dan tidak langsung berjumlah RM42 bilion sempena VJY2026, berdasarkan unjuran kehadiran 12 juta pelancong tahun depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami