KUALA LUMPUR: Persiapan dan persediaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021) kini telah mencapai 90 peratus, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2021, beliau berpuas hati dengan persiapan dan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan kementerian yang terlibat.

"Acara utama pada tahun ini juga tidak akan melibatkan kehadiran orang awam secara fizikal dan dilaksanakan dalam skala kecil secara bersemuka serta terkawal," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif bertajuk 'Malaysia Prihatin: Refleksi Patriotisme' yang disiarkan di TV1 malam tadi.

Beliau menjelaskan jumlah petugas dan tetamu yang hadir secara fizikal juga dikurangkan kepada 60 peratus berbanding perancangan awal, selaras dengan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Ogos manakala Sambutan Hari Malaysia diraikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Sept.

Beliau berkata hanya empat persembahan utama akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara iaitu persembahan drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan badan beruniform pelbagai agensi serta pertunjukan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mengulas lanjut, beliau berkata durasi masa acara pada tahun ini akan berlangsung di lokasi dengan masa yang singkat iaitu hanya 50 minit.

Katanya, beberapa kejutan menanti penonton televisyen sewaktu sambutan yang akan menggabungkan elemen teknologi terkini berkonsepkan Mix Reality iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

Selain itu, pelbagai pertandingan dan program telah dianjurkan mulai 1 Ogos termasuk Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021, Sayembara Sajak Merdeka 2021, Pertandingan Mewarna dan Melukis MyDoodle@Merdeka 2021 dan Pertandingan Video TikTok Ilham Merdeka 2021.

Mengenai tema tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, beliau berkata ia adalah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersatu dalam menghadapi cabaran mendepani pandemik COVID-19.

-- BERNAMA