Persiapan Thaipusam di P. Pinang hampir selesai, hanya tunggu SOP MKN

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 12, 2022 11:04 MYT
R. Subramaniam (kiri) dan Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memberitahu, pihak pengurusan kuil dan PDRM hanya menunggu SOP yang akan dimuktamadkan oleh MKN bagi memudahkan persiapan menyambut Hari Thaipusam dibuat. - Gambar kredit PDRM
GEORGE TOWN: Pengurusan kuil di Pulau Pinang kini hanya menunggu prosedur operasi standard ( SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk perayaan Thaipusam yang akan disambut bermula 17 Januari ini.
Pengerusi Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam (Kuil HillTop), Datuk R. Subramaniam berkata, setakat ini persiapan di dalam serta di luar kuil hampir 90 peratus siap.
“Setakat ini, semua persiapan sudah dibuat dan kita sedang menunggu SOP rasmi daripada MKN dan berharap MKN akan mengeluarkannya dalam tempoh terdekat sebelum kami mengumumkan SOP tersebut kepada para penganut Hindu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelas Subramaniam, pengumuman SOP dalam masa terdekat itu bagi memudahkan persiapan perayaan Thaipusam dilaksanakan secara menyeluruh.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang melakukan lawatan tapak ke kuil berkenaan.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, MKN akan memuktamadkan SOP sambutan perayaan Thaipusam dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19.
“Hasil lawatan hari ini kita melihat segala persiapan telah dibuat pihak pengurusan kuil dengan menyediakan kod pengimbas, pas khas kepada penduduk untuk akses keluar masuk ke kawasan ini serta lain-lain.
“Saya juga berharap penganut Hindu akan berhubung dengan pihak kuil bagi mendapatkan maklumat berkenaan SOP perayaan Thaipusam kelak” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia dari segi penugasan anggota sempena sambutan Thaipusam itu.
Setakat ini, seramai 1,300 anggota dijangka ditugaskan bagi memastikan kelancaran perayaan Thaipusam.
Bagaimanapun, jumlah keanggotaan sebenar hanya akan dimuktamadkan selepas MKN mengeluarkan SOP rasmi.
Pada Selasa, Mohd Shuhaily berkata, perarakan dua pedati di negeri itu dibenarkan namun jumlah penganut Hindu yang akan mengiringinya akan diputuskan MKN.
Bagi memastikan semua upacara sepanjang sambutan Thaipusam berjalan lancar tanpa pelanggaran SOP, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak penganjur dan kuil.
#Thaipusam #pulau pinang #SOP #MKN