MALAYSIA

Persidangan ketenteraan Indo-Pasifik tonjol komitmen Malaysia

Astro Awani 26/09/2025 | 12:13 MYT
Ketibaan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Jeneral Ronald Clark disambut meriah sempena persidangan ketenteraan Indo-Pasifik di ibu negara, yang menghimpunkan delegasi tertinggi tentera darat dari 25 negara. - Gambar MINDEF
KUALA LUMPUR: Tiga persidangan ketenteraan utama peringkat Indo-Pasifik yang berlangsung di ibu negara melabuhkan tirai dengan menampilkan komitmen padu Malaysia dalam memperkukuh keselamatan serantau dan jaringan kerjasama pertahanan pelbagai negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, penganjuran berprestij itu bukan sahaja menjadi medan perbincangan strategik, malah mengukuhkan hubungan dua hala menerusi pendekatan diplomasi ketenteraan yang bermakna.

“Kami berbangga kerana berjaya menganjurkan acara bersejarah ini, namun usaha kami tidak terhenti di sini.

“Hasil perbincangan ini akan menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan. Di sebalik perbincangan, ia turut membina persahabatan, perkongsian dan ikatan profesional yang memastikan angkatan tentera kita kekal bersatu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran akan datang,” katanya.

Tiga acara tersebut merangkumi Indo-Pacific Armies Chiefs Conference (IPACC) Edisi ke-4, Indo-Pacific Armies Management Seminar (IPAMS) ke-49, serta Senior Enlisted Leaders Forum (SELF) ke-11 yang berlangsung selama tiga hari di bawah tema “Forging Synergy: Transforming Multinational Land Power Networks Through Open Fashion Contact.”

xxx


Dalam pada itu, Panglima Komandan Tentera Darat Amerika Syarikat Pasifik (USARPAC), Jeneral Ronald Clark memuji kepimpinan Malaysia dalam menjayakan penganjuran acara yang memperkukuh hubungan strategik rantau ini.

“Komitmen terhadap kecemerlangan yang ditonjolkan sepanjang persidangan ini merupakan bukti kukuh keupayaan Tentera Darat Malaysia, khususnya Jeneral Hafiz, dalam menjalin hubungan yang memberi manfaat kepada kita semua hasil daripada persidangan ini,” kata Clark.

Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan pertahanan yang berwibawa dan berpengaruh dalam memperkukuh kestabilan serantau menerusi kerjasama ketenteraan pelbagai hala.

Antara pengisian sampingan termasuk demonstrasi ketenteraan oleh Tentera Darat Malaysia di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang, serta program untuk pasangan delegasi yang memperkenalkan elemen seni dan budaya tempatan.

Persidangan itu turut mengetengahkan perbincangan isu-isu global seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi ketenteraan, konflik Rusia-Ukraine, serta pembangunan kepimpinan masa hadapan dalam kalangan pegawai bukan tentera (NCO).


#Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan #IPACC #IPAMS #SELF #Jeneral Ronald Clark #Mindef