Persidangan Ulama Sedunia dijadualkan pada 7 dan 8 Mei - Fahmi

Bernama
April 17, 2024 11:52 MYT
Fahmi berkata perkara itu diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas menerima memorandum daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Muslim World League dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan menganjurkan Persidangan Ulama Sedunia di Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 8 Mei ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas menerima memorandum daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
"Kerajaan memberikan sokongan kepada penganjuran persidangan itu dengan harapan ia akan berupaya untuk mengumpulkan sejumlah ulama bagi membincangkan perkara-perkara terkini termasuk tentang sikap extremisme yang berlaku dalam dunia Islam hari ini," katanya kepada media hari ini.
Persidangan Ulama Sedunia kali ini merupakan kali kedua dianjurkan selepas kali pertama diadakan pada Julai 2022 di Subang Jaya, Selangor yang melibatkan 20 negara, dengan menekankan konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah.
-- BERNAMA
#Muslim World League #Jabatan Kemajuan Islam Malaysia #Persidangan Ulama Sedunia #Fahmi Fadzil