Pertandingan debat medan lahirkan pemimpin masa depan - Zambry

Zambry berucap pada Majlis Penutup dan Pertandingan Akhir Pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, malam tadi. - Gambar Facebook UUM
SINTOK: Debat bukan sekadar sebuah medan pertandingan tetapi 'madrasah' kepimpinan dan gelanggang membentuk jati diri khususnya dalam kalangan mahasiswa, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, pertandingan debat juga menjadi platform untuk melatih diri menjadi pemimpin yang berilmu, berani dan berintegriti.
"Antara peranan dan kelebihan debat kepada mahasiswa ialah ia melatih mahasiswa berfikir secara kritikal, berani menyuarakan pandangan dan bertanggungjawab terhadap hujah sendiri.
"Daripada pentas debat, lahir pemimpin masa depan yang matang dan berjiwa rakyat, mengajar mahasiswa keberanian bersuara tanpa hilang adab dan tatasusila," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup dan Pertandingan Akhir Pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, malam tadi.
Zambry berkata, debat juga berupaya melatih kejujuran terhadap fakta dan hujah, menjauhkan diri daripada manipulasi serta fitnah.
DPIPPM dianjurkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Yayasan Policy and Economic Affairs Centre Malaysia (PEACE), berlangsung dari 24 hingga 27 Okt.
Bertemakan 'Belia Berintegriti, Asas Ketahanan Negara', pertandingan ini mengupas pelbagai usul berkaitan aspek tadbir urus dalam kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang mendapat perhatian global termasuk rantau ASEAN.
DPIPPM menerima penyertaan 60 pasukan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Kolej Vokasional dan Politeknik serta dua pasukan dari Bandung, Indonesia.
Pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) A dinobatkan sebagai juara, diikuti pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (naib juara), pasukan UPNM B (ketiga) dan Universiti Sains Malaysia (keempat).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


