MALAYSIA
Pertanian di hujung jari, pelbagai operasi bertukar automatik

Wan Nor Zafri Wan Zali menunjukkan kaedah penanaman hidroponik dengan elemen Internet Kebendaan (IoT). - Astro AWANI
Sesebuah dusun kini boleh beroperasi sendiri tanpa kelibat manusia di sekitar, seperti entiti ghaib mengambil alih.
Peladang hanya goyang kaki di rumah, tiada lagi keringat perlu diperah, hasil diraih tetap meriah.
Ini era baharu sektor pertanian, Internet Kebendaan atau nama pendeknya, IoT.
Destinasi pertama dituju Astro AWANI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), antara badan yang giat mempelopori serta mengembangkan IoT di Malaysia.Menurut Timbalan Pengarah Program Pertanian Pintar dan Tepat MARDI, Dr Arina Mohd Noh, IoT adalah rangkaian penderia (sensor) di segenap sudut kebun untuk membantu petani.
"Dengan adanya IoT, petani tidak perlu lagi ke lapangan bagi memantau keadaan tanaman mereka, semuanya kawalan jarak jauh, dari aplikasi telefon pintar.
"Satu lagi bagusnya IoT ini ada fungsi automasi, contohnya untuk pengairan. Dengan satu klik pada telefon, kita boleh buka dan tutup pengairan di ladang.
"Kalau lebih canggih, kita tetapkan terus pada sistem IoT itu, berapa jumlah air diperlukan untuk tanaman dan IoT sendiri akan kawal," jelas Dr Arina.
Antara maklumat penting yang mampu disalurkan IoT secara masa nyata kepada petani adalah suhu, kelembapan udara, tahap kesuburan tanah dan kadar karbon dioksida.
Daripada maklumat direkod penderia ini, Iot boleh mengambil tindakan sewajarnya seperti memasang alat pelembap udara atau kipas ekzos untuk mengembalikan keadaan ideal di ladang, semua secara automatik.

Wan Nor Zafri Wan Zali menunjukkan sistem Internet Kebendaan di bilik pameran City Farm Malaysia.
Pengusahanya, Wan Nor Zafri Wan Zali berkata ada beberapa penderia IoT yang popular di Malaysia.
"Pertama, sensor untuk ukur kelembapan tanah dan kedua, sensor pH. Semua penting untuk kelangsungan hidup tanaman.
"Selain itu, penderia yang masih dibangunkan adalah kamera litar tertutup dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI), kita boleh tahu jika pokok tu 'sakit' tanpa perlu periksa satu-persatu.
"Ini maklumat kritikal untuk petani supaya boleh bertindak segera," terangnya.
Meskipun begitu, penggunaan IoT dalam pertanian di Malaysia masih di fasa awal dan ada beberapa halangan perlu ditangani.
Antaranya capaian internet di kawasan pedalaman, kadar celik digital, bekalan elektrik stabil dan kos permulaan yang tinggi.
"Petani kalau nak merasa guna sistem IoT, tetapi bajet tak besar boleh pasang yang biasa je, cukup untuk tengok kadar pH dan suhu.
"IoT ini berbaloi sebab kos pemasangan awal je mahal, selepas itu dah jimat," kata Wan Nor Zafri.

Hafizal Ramli memaparkan model yang mengumpulkan sistem IoT di dalam dusunnya.
Pemiliknya, Hafizal Ramli atau lebih mesra disapa HR, berkata dia berseorangan menguruskan dusun kebanggaannya.
Elemen IoT yang unik di Dusun HR adalah stesen mini cuaca, membantu HR membuat keputusan berdasarkan data diperoleh.
"Daripada stesen mini cuaca ini, saya akan lihat dari rumah sekiranya sedang hujan di ladang serta kadar suhu dan angin.
"Kalau contohnya semalam dah hujan, tak perlu la pagi nanti saya buat pengairan, jika terlebih air bahaya juga untuk tanaman," jelas HR.
Konsep IoT sekiranya diselami dengan lebih mendalam diyakini boleh membawa sektor pertanian ke alaf baharu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami