Skip to main content

Malaysia

Pertembungan kejahilan ancam kestabilan Malaysia, bukan pertembungan tamadun - PM

Temu Anwar, Perdana Menteri, IPG
Anwar berkata, konflik sebenar yang perlu dibimbangi bukanlah ‘clash of civilisations, sebaliknya ‘clash of ignorance’ atau pertembungan kejahilan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia supaya saling memahami budaya dan agama masing-masing bagi mengelakkan prasangka.

Tegasnya, konflik sebenar yang perlu dibimbangi bukanlah ‘clash of civilisations, sebaliknya ‘clash of ignorance’ atau pertembungan kejahilan.

Beliau berkata, masyarakat majmuk di Malaysia tidak seharusnya terperangkap dengan naratif bahawa perbezaan kaum dan agama pasti membawa kepada pertembungan.

“Rakyat perlu membina kefahaman dan saling menghormati bagi memastikan perpaduan terus menjadi asas kekuatan negara.

“Kita kenapa nak clash? Kita ada Melayu, ada Cina, ada India. Mesti clash? Kita harus hidup bersama.

“Kalau hidup bersama, bagaimana? Kena faham, kena hormat. Bukan tegakkan kata aku lebih baik atau betul, tetapi hormat dan fahami,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar bersama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Nilai, pada Jumaat.

Anwar merujuk kepada penulisan cendekiawan Palestin, Edward Said, yang menyanggah teori ‘Clash of Civilisations’ yang diperkenalkan ahli sains politik Amerika Syarikat, Samuel P. Huntington.

Menurut beliau, Said berpandangan konflik yang berlaku di dunia hari ini bukanlah berpunca daripada pertembungan tamadun, sebaliknya lahir daripada kejahilan manusia terhadap budaya dan kepercayaan pihak lain.

Beliau berkata, antara punca prasangka ialah kegagalan masyarakat memahami agama, sejarah dan budaya kaum lain sebelum membuat penilaian.

Menurutnya, banyak pihak dengan sambil lewa mendakwa budaya atau sejarah sendiri lebih baik sedangkan mereka tidak mengenali latar belakang masyarakat lain.

“Kalau saya tanya orang Melayu tentang budaya Cina, belum tentu dia tahu. Kalau tanya orang Cina tentang Islam, belum tentu dia faham.

“Tetapi akhirnya nak berdebat. Sejarah kami lebih baik, budaya kami lebih baik, bahasa kami lebih baik. Jadi yang bicara apa? Ignorance (kejahilan),” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa bakal pendidik memainkan peranan menyemai nilai toleransi dan saling menghormati dalam kalangan generasi muda supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaian. 
 

Must Watch Video

Advertisement