Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan delegasi dari Majlis Profesor Negara (MPN) yang diketuai oleh Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, selaku Pengerusi MPN, hari ini.

Ahmad Zahid menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya berkongsi dapatan daripada pertemuan lebih dua jam itu. Antara lain, berbincang dan melihat sisi kerjasama  yang boleh dijalinkan dengan melihat kepada kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah MPN.

Kata beliau, isu utama yang diangkat adalah berkenaan pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melibatkan sektor pendidikan khususnya TVET.

"Saya menyambut baik cadangan yang diberikan dan akan memastikan agensi di bawah KKDW akan terus diupayakan khususnya dalam sektor TVET.

"Saya juga mengajak para ilmuan yang bernaung di bawah MPN, turut bersama dalam membantu dan memberikan kepakaran mereka dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraaan rakyat," katanya lagi.

Ahmad Zahid juga berharap sesi perkongsian dan meraikan pendapat dari para ilmuan ini akan terus diadakan.

Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai satu 'koridor baharu' dalam usaha mendapatkan input yang diperlukan di dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat.