KUALA LUMPUR: Perbincangan antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer berlangsung dalam suasana positif, dengan fokus diberi terhadap membantu industri dan pengeksport Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian mengenai tawaran Malaysia berhubung isu tarif bagi mengimbangi defisit perdagangan antara Malaysia dan AS.

Perkembangan itu dimaklumkan Tengku Zafrul sejurus selepas pertemuannya dengan Greer pada Khamis.

"Apa yang saya boleh jamin ialah perbincangan memberi fokus untuk membantu industri, syarikat dan pengeskport Malaysia.

"Pada masa yang sama kita bersetuju cari jalan menang-menang kepada semua rakyat Malaysia dan AS," katanya.

Dalam pada itu Tengku Zafrul memaklumkan Malaysia dan AS akan meneruskan perbincangan dengan pengurusan tertinggi wakil perdagangan Amerika Syarikat (USTR), dengan satu lagi pertemuan dirancang pada bulan hadapan.

"USTR bersama Malaysia, dengan semua kementerian dan agensi berkaitan akan teruskan perbincangan.

"Saya akan berjumpa sekali lagi dengan Greer dan USTR pada bulan Mei. Insya Allah kita akan teruskan perbincangan, pegawai tertinggi akan meneruskan apa yang telah dibincang hari ini," katanya lagi.

Enggan mendedahkan konsesi yang ditawarkan Malaysia, Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan, apa yang cuba diperjuangkan oleh delegasi adalah untuk kebaikan ekonomi Malaysia.

Tengku Zafrul tiba di Washington pada Khamis dalam usaha untuk berbincang isu pelaksanaan tarif oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Awal bulan ini, Trump mengenakan tarif import 10 peratus ke atas semua rakan perdagangan serta "tarif timbal balik" ke atas pelbagai negara yang mempunyai lebihan perdagangan yang besar dengan AS.

Malaysia dikenakan tarif 24 peratus, lebih rendah daripada negara ASEAN lain seperti Vietnam (46 peratus), Kemboja (49 peratus) dan Indonesia (32 peratus).