Kes-kes saman sivil melibatkan agensi kerajaan dan individu akan didengar berdasarkan merit dan tidak akan diketepikan dan dibatalkan atas alasan teknikal.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata pertikaian antara individu dan agensi kerajaan harus diselesaikan di mahkamah.

“Badan kehakiman selaku cabang ketiga dalam kerajaan hanya dapat memenuhi kewajibannya apabila pertelingkahan antara dua agensi diadili berdasarkan merit sebelum dibawakan ke mahkamah.

“Kalau tidak, bagaimana mahkamah dapat melaksanakan tugasnya sebagai benteng antara pihak individu dan kerajaan?,” kata Thomas di Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2018 hari ini.

Tambahnya, sebarang peruntukan undang-undang bertulis yang berniat menyingkirkan budi bicara mahkamah untuk mendengar kes berkenaan perlu dipinda.

Beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang yang diperlukan berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, beliau juga berkata akan menasihati kerajaan agar kurangkan penglibatan dalam Badan Peguam dan menyaran perbadanan tersebut untuk mendraf undang-undang baharu untuk pengurusan profesion guaman dan memberi jaminan untuk memberikan kebebasan penuh kepada badan itu untuk berbuat demikian.

“Saya akan menasihati kerajaan baharu bahawa penglibatan rapat kerajaan dalam tadbir urus profesion guaman akan menyekat kebebasan badan peguam.

“Kerajaan perlu mengundurkan diri daripada penglibatan dalam hal berkenaan,” tegasnya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan mencemar duli ke persidangan itu.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Presiden Badan Peguam, George Varughese.