Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Pertikaian Petronas-Petros tercetus akibat cemburu - Abang Johari

Sinar Harian 15/05/2025 | 23:50 MYT
Abang Johari berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 dan Pelancaran Tasik Biru Resort City di Bau, 15 Mei 2025. - Foto Sarawakku
Perasaan cemburu terhadap kekuatan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang dipercayai menjadi sebahagian punca pertikaian antara syarikat minyak nasional, Petronas dan syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan hasil dan kemajuan ekonomi negeri itu telah menarik perhatian negatif dan menyebabkan rasa cemburu daripada beberapa pihak.

“Itulah sifat manusia, apabila seseorang berjaya, akan ada yang mula cemburu. Hasil Sarawak telah meningkat dengan ketara.

“Apabila ini berlaku, pihak yang tiada kerja lain mula memainkan naratif seperti ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ kepada mereka yang cemburu," katanya ketika berucap dalam satu majlis di Bau, Sarawak.

Justeru, Abang Johari memaklumkan, beliau perlu menangani isu melibatkan Petronas dan Petros tersebut.

Menurutnya lagi, beliau komited untuk mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak.

Tambah beliau, ekonomi Sarawak kini berkembang pesat dengan hasil tahunan melebihi RM15 bilion.

“Kita bersatu, kita bekerja keras dan politik kita stabil, tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang kadangkala agak kucar-kacir. Itu masalah mereka, bukan masalah kita,” menurutnya.

Tegas Abang Johari, kemajuan Sarawak seharusnya dilihat sebagai satu manfaat kepada seluruh negara, sekali gus ekonomi Sarawak perlu diuruskan dengan bijak dan disatukan dengan perpaduan rakyatnya. - Sinar Harian



#pertikaian Petronas-Petros #Abang Johari Tun Openg #cemburu #Ekonomi Sarawak