KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi negara penting untuk survival rakyat selain memberi gambaran hala tuju masa depan negara.

Mendepani gelombang kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan, Penganalisis Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Md Shukri Shuib berkata, keupayaan pendapatan isi rumah merupakan antara aspek yang perlu diberi tumpuan bagi membolehkan sektor lain digerakkan.

"Tumpuan khusus harus diberi kepada aspek isi rumah. Kita lihat keupayaan pendapatan isi rumah mampu dipertingkat pada pasca Covid melalui pemacuan industri.

"Peluang pekerjaan yang baharu harus diwujudkan selain kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) baharu serta pemacuan ke atas pelaburan langsung domestik (DDI), dengan memperbanyak pemodal dan penggiat luar masuk dalam negara.

"Kerana itu kerajaan perlu dapat legitimasi di Dewan Rakyat sebagai indikator yang akan membolehkan keyakinan teguh di sektor global dalam keadaan kemelesetan ekonomi, di mana modal mereka nak labur.

"Elemen kapitalis pemodal penting untuk diraikan dan beri insentif baik untuk mereka datang dan melabur serta pemindahan kepakaran bagi mewujudkan jaringan industri yang mereka laburkan, akan beri raangsangan kepada ekonomi tempatan," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Jumaat.

Pantau Kerajaan Baharu | Impak unjuran kemelesetan negara maju dan kesediaan negara

Jelasnya, Malaysia sedang merangka kaedah untuk membolehkan akses pendidikan tinggi untuk semua lapisan masyarakat bagi mencapai tahap negara maju, sekaligus tidak memungkinkan sumbangan tenaga buruh murah ke dalam sektor industri seperti yang dilakukan negara-negara jiran.

"Kena faham kita bukan sahaja berada dalam middle income state tetapi kita berada dalam kapasiti untuk jadi negara berpendapatan tinggi, negara yang dipacu sektor industri, bukan berorientasi buruh semata-mata tetapi keusahawanan.

"Kerana itu keusahawanan penting untuk diperkasakan, kementerian berkaitan inovasi, sains dan teknologi serta Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu diperkasakan kerana ini bukan sahaja tentang mewujudkan modal insan tetapi kita juga memerlukan pakar yang akan menjadi aset negara dalam mencipta produk baharu yang boleh diperdagang ke luar," ujarnya.

Justeru, pergantungan terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan sahaja dilihat sebagai budaya yang tidak sihat, selain perlunya negara memperkasakan dasar sains dan teknologi serta penubuhan syarikat yang mampu memacu modal sendiri.

Malaysia, tambahnya, harus mempunyai sistem daya tahan pendidikan lebih tinggi berasaskan kajian kes dan memfokuskan kepada adaptasi graduan dengan situasi semasa bagi penghasilan bekalan tenaga buruh yang berkualiti dalam jangka masa panjang.