KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pertukaran bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed adalah bagi melindungi Datuk Seri Najib Tun Razak daripada disiasat dan didakwa berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada 2016.

Perkara itu didedahkan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37, ketika mengesahkan kandungan rakaman audio perbualan di antara Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

"Najib sebagai Perdana Menteri (ketika itu) telah membuat beberapa tindakan yang memberi kesan kepada siasatan kes ini. Selepas pertukaran Tan Sri Abu Kassim kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad, saya ada terima arahan untuk tidak meneruskan siasatan kes," katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib siapakah memberi arahan (untuk tidak meneruskan siasatan kes), saksi pendakwaan ke-49 itu berkata beliau tidak ingat siapa yang memberi arahan itu tetapi memang beliau ada menerima arahan berkenaan dan mencatatkannya dalam diari siasatan.

Selain itu, mahkamah juga mendengar rakaman audio perbualan di antara Najib dan Pegawai Eksekutif Mubadala di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Al-Mubarak, dan saksi berkata, perbincangan itu adalah mengenai penerbitan filem oleh anak tiri Najib iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz, yang menggunakan dana 1MDB.

Pada prosiding hari ini, sembilan rakaman audio perbualan dimainkan di mahkamah didakwa membabitkan Najib, Rosmah dan beberapa individu berprofil tinggi yang mempunyai kaitan dengan siasatan kes 1MDB.

Antara suara yang dicamkan oleh saksi itu adalah suara Dzulkifli, bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, Amhari dan Khaldoon.

Sementara itu, Nur Aida berkata Najib tidak pernah mengarahkan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan SPRM untuk menjalankan siasatan ke atas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low walaupun beliau (Najib) tahu Jho Low memainkan beberapa peranan penting dalam 1MDB, sedangkan dia tidak memegang sebarang jawatan dalam syarikat itu.

"Peranan ini termasuk penglibatan Jho Low dalam beberapa mesyuarat bersama pihak pengurusan 1MDB serta nota percakapan yang disediakan ahli perniagaan itu untuk kegunaan pengurusan 1MDB," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Akram.

Nur Aida berkata berdasarkan hasil siasatannya, beliau tidak menemui sebarang surat bertulis yang diserahkan Najib kepada Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi sebagai tanda penghargaan atau terima kasih atas sebarang pemberian derma seperti didakwa bekas perdana menteri itu.

"Siasatan saya juga menunjukkan syarikat-syarikat yang didakwa menyalurkan wang derma daripada Kerajaan Arab Saudi ke dalam akaun peribadi Najib antaranya Blackstone Real Estate dan Tanore Finance Corporation tidak pernah mempunyai sebarang kaitan perniagaan dengan 1MDB.

Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan Kerajaan Arab Saudi mengatakan atau memberitahu Najib yang wang derma akan masuk ke dalam akaun syarikat ini dahulu sebelum disalurkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib," katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA