KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat bertukar hangat ketika sesi penggulungan melibatkan Kementerian Kewangan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan fakta pembangkang mengenai kedudukan ekonomi di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Menurut Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 sebanyak 8.7 peratus, yang disifatkan terbaik di rantau ini adalah tidak benar.

Anwar berkata, kenyataan tersebut menunjukkan kedangkalan pengetahuan asas terhadap ekonomi.

"Perbahasan ini dimulakan dengan Ketua Pembangang (Hamzah) yang membuat satu kesilapan besar tentang pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tidak pernah dipertikaikan iaitu 8.7 peratus pada 2022.

"Dalam pembentangan saya sebut, dari asas rendah negatif 5.5 peratus (pada 202), sebab itu Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) bagi kuliah kepada beliau (Hamzah). Ini kerana, kalau tidak faham tentang hal ini, ia akan mempersulitkan tentang kerja kita.

"Kadar pertumbuhan itu mesti terkait dengan kadar pertumbuhan sebelumnya. Sebab itu Singapura umpamanya berkembang 7.6 peratus, lebih rendah daripada Malaysia. Tetapi 2020, tahun sebelumnya 4.1 peratus, (tetapi) Malaysia pada tahun sebelumnya ialah negatif 5.5 peratus.

"Jadi saya tidak nafikan naik 8.7 peratus (pada 2022) tetapi janganlah riuh rendah mengatakan kejayaan paling besar dalam negara, nampak kedangkalan dalam ilmu ekonomi asas ini," katanya pada sesi penggulungan tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Situasi itu menyebabkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bangkit mempertahankan kenyataan beliau.

"Saya juga nak terangkan kepada Yang Berhormat, asas itu betul... asas itu rendah, kita bersetuju. Tetapi oleh kerana inisiatif dan acara kita menentukan, ia dapat melonjakkan ekonomi. Itu yang sepatutnya kita bangga. Ia sesuatu yang sama-sama kita pastikan supaya ia mencapai angka yang baik," kata Hamzah.

Anwar kemudian sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak menafikan fakta pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7 peratus.

"Tetapi saya pertikai ini kejayaan paling besar daripada negara-negara lain, ini tak betul. Ini yang saya kata asas ekonomi iaitu 8.7 peratus kena timbang (ambil kira) negatif 5.5 peratus. Tetapi tak apalah kalau dia nak menang, tak ada masalah," kata Perdana Menteri.

Begitu pun Hamzah menjawab: "Saya bukan nak menang...".