Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka susut secara ketara pada suku kedua 2020 yang berkemungkinan besar berlanjutan sehingga separuh kedua tahun ini susulan impak penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Kenanga Research (Kenanga), cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata pertumbuhan itu akan pulih secara beransur-ansur pada suku keempat 2020, didorong oleh rangsangan dasar fiskal dan monetari.

"Penularan COVID-19 itu dijangka memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2020 dan mungkin berterusan sehingga akhir tahun akibat pelaksanaan sekatan pergerakan dan langkah penjarakan sosial bagi membendung penularannya.

"Ini sebaliknya akan terus menjejaskan rantaian bekalan dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan," katanya.

Menurut Kenanga, sektor perkhidmatan khususnya yang berkaitan industri pelancongan dan pengangkutan akan terus terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan di peringkat global.

Dalam pada itu, ia menyifatkan industri pembuatan khususnya berteraskan eksport perlu terus berdepan gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan akibat sekatan pergerakan dan permintaan luaran yang rendah.

"Pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang meletus semula selepas seorang senator AS mencadangkan rang undang-undang membenarkan Presiden Donald Trump mengenakan sekatan terhadap China akibat COVID-19, akan menjejaskan lagi perdagangan global dan pasaran komoditi dalam masa terdekat.

"Selain itu, syarikat gergasi perkapalan Maersk turut mengunjurkan sebarang kemerosotan permintaan perkapalan sebanyak 20 hingga 25 peratus merupakan angka terbesar pernah dicatatkan.

"Ini hanya mengesahkan lagi jangkaan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai kemerosotan perdagangan global antara 13 hingga 32 peratus," katanya.

Kenanga juga menyifatkan pembukaan semula ekonomi yang terlalu awal dan mengakibatkan kluster jangkitan baharu di negara utama seperti Korea Selatan, China dan Jerman, akan turut memberi kesan terhadap pasaran kewangan.

Malah, ini akan disusuli dengan langkah sekatan pergerakan lebih lama dan ketat yang akan hanya mengheret ekonomi tumbuh dalam aliran lekuk 'U'.

"Dalam persekitaran sedemikian, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan suku kedua 2020 pada kadar lebih rendah kepada -7.5 peratus berbanding jangkaan awal -4.9 peratus.

"Sehubungan itu, jangkaan awal kami bagi pertumbuhan KDNK 2020 turut disemak semula kepada -2.9 peratus berbanding -1.9 peratus sebelum ini," katanya.

- BERNAMA